Rakyat Terengganu digalak cipta pekerjaan sendiri, kata MB 


Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata iklim dunia pekerjaan hari ini amat berbeza berbanding 10 tahun lepas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2022.

RAKYAT di Terengganu digalakkan untuk mencipta peluang pekerjaan sendiri bagi menghadapi suasana ekonomi selepas tempoh pandemik Covid-19.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata iklim dunia pekerjaan hari ini amat berbeza berbanding 10 tahun lepas dengan peluang pekerjaan lazimnya disedia dan ditawarkan oleh sesebuah organisasi atau syarikat kepada orang ramai.

Justeru, beliau berkata rakyat perlu lebih kreatif dan berinisiatif untuk mencipta peluang pekerjaan sendiri sama ada sebagai pelengkap kepada industri sedia ada atau mencipta pasaran baharu.

“Seperti yang saya selalu sebut, pelaburan pada waktu sekarang juga bukanlah bersifat intensif buruh, bukan seperti zaman dahulu.

“Sebagai contoh, jika dulu satu pelaburan berjumlah RM200 juta mampu membuka peluang pekerjaan kepada 200 orang, tetapi dengan perkembangan sains dan teknologi hari ini perlu kepada 50 orang sahaja,” katanya selepas merasmikan Seminar My Local Stat and Sustainable Development Goals (SDG) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.

Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri melalui agensi berkaitan termasuk Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah menyediakan banyak inisiatif dalam pelbagai bentuk sebagai sokongan kepada rakyat.

Oleh itu, rakyat perlu merebut peluang tersedia di depan mata, katanya.

Terdahulu, Mohd Uzir dalam ucapannya memaklumkan bahawa Terenggganu telah merekodkan pencapaian SDG yang baik bagi beberapa indikator mengikut lima bidang tumpuan.

Ia termasuk penurunan kadar pengangguran daripada 4.1 peratus pada 2020 kepada 4.0 peratus pada 2021.– Bernama, 21 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen