Penduduk Puncak Alam gesa kerajaan beri perhatian mengenai projek ECRL 


Noel Achariam

Rangkaian rel sepanjang 665km itu, yang merangkumi 59 terowong, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dan akan merentasi empat negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2022.

PENDUDUK di Puncak Alam, Selangor yang menjadi lokasi stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jajaran utara, berharap pihak berkuasa akan mengambil kira kebimbangan mereka sebelum memulakan projek itu.

Mereka meminta stesen itu dibina sebaik sahaja projek itu dimulakan dan bukan sebahagian daripada usaha akan datang.

Mereka juga meminta semua faktor mitigasi seperti trafik, penilaian impak sosial dan alam sekitar ditangani sebelum dan selepas pembinaan projek.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bayu Suria (5A7) Puncak Alam Mohamed Rohaizal Alluwi berkata surat permohonan mereka telah dihantar kepada Kementerian Pengangkutan.

“Kami meminta kementerian supaya stesen Puncak Alam dibina apabila Fasa Satu projek itu dimulakan dan bukan stesen masa depan yang akan disiapkan menjelang 2026,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata persatuan mereka juga secara berasingan meminta semua faktor mitigasi dilaksanakan seperti trafik, kesan alam sekitar, pencemaran bunyi dan lain-lain semasa dan selepas pembinaan.

Rohaizal berkata surat kepada kementerian itu ditandatangani 22 persatuan penduduk di kawasan itu.

“Surat itu dihantar tahun ini dan kami percaya bahawa kerajaan akan menangani kebimbangan kami.”

Pada 5 Jun, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kelulusan untuk membina stesen ECRL di Puncak Alam selepas bertemu pengerusi pelbagai persatuan penduduk di Puncak Alam. Mereka bersetuju supaya stesen ECRL dibina.

Rohaizal berkata pada Ogos 2021 penduduk telah menghadiri sesi taklimat oleh perunding ECRL.

Pada 5 Jun, diumumkan kelulusan membina stesen ECRL di Puncak Alam selepas bertemu pengerusi pelbagai persatuan penduduk di kawasan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2022.

“Mereka kata jajaran utara di Shah Alam akan melalui kawasan perumahan kami.

“Apartmen kami sangat dekat dengan jajaran yang terletak kira-kira 100 meter dan itulah sebabnya kami dijemput untuk taklimat.”

Beliau berkata selepas taklimat itu mereka menjalankan tinjauan terhadap penduduk di kawasan mereka mengenai pendirian mereka dan sama ada mereka semua bersetuju dengan projek itu.

“Jadi, apabila ECRL memuktamadkan jajaran utara, hampir 90% penduduk bersetuju dengannya (projek).

“Puncak Alam dan Kapar dikenal pasti sebagai stesen masa depan. Tetapi, perjanjian kami datang dengan syarat.

“Kita minta stesen Puncak Alam dibina apabila Fasa Satu projek itu bermula.

“Berdasarkan pengumuman menteri kami berharap kerajaan telah mempertimbangkan dan meluluskan permintaan kami.”

Mengenai bagaimana ECRL akan memberi manfaat kepada penduduk, beliau berkata daripada apa yang mereka perolehi daripada taklimat itu, operasi akan terdiri daripada 70% kargo dan 30% penumpang.

“Ia akan memberi manfaat kepada mereka yang ingin ke pantai timur dan mereka juga boleh menyambung dari Puncak Alam ke stesen Bandar Baru Serendah untuk bertukar dengan stesen KTM untuk ke utara atau selatan malah ke Kuala Lumpur.

“Setakat ini, itu yang kami faham (mengenai projek itu).”

Pada April, ketua pegawai eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Darwis Abdul Razak berkata pembinaan projek ECRL telah mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 28.57%.

Beliau berkata peratusan itu termasuk kerja-kerja pembinaan di empat negeri - Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor - dan berada di landasan yang betul untuk disiapkan sepenuhnya menjelang Disember 2026.

Rangkaian rel sepanjang 665km itu, yang merangkumi 59 terowong, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dan akan merentasi empat negeri. – 21 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen