4 remaja selamat, 2 dikhuatiri lemas di Sungai Penampang 


EMPAT remaja terselamat manakala dua lagi dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di sungai berhampiran Kampung Pogunon, dekat Penampang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang, empat remaja lelaki berusia 17 tahun terbabit dikenali sebagai Jeremiah Maxwell, Constant Felix, Jameson Johnwai dan  Bryan Lee berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

Sementara dua lagi rakan mereka Harold Walter dan Tomansi Olaf yang dilaporkan hanyut, masih belum ditemukan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan sepasukan anggota bomba digegaskan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hanyut. Operasi SAR dijalankan dengan kaedah surface rescue. Empat mangsa terperangkap di sungai telah berjaya diselamatkan dan mereka tidak mengalami kecederaan.

“Operasi menyelamat dua lagi mangsa hanyut diteruskan pada 6.25 pagi tadi bersama penduduk kampung,” menurut kenyataan itu hari ini.

Operasi SAR turut dibantu anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. – Bernama, 19 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen