PBAKL jadi pesta buku Melayu Islam Malaysia?


PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 mencatatkan kunjungan seramai lebih  1.24 juta pengunjung dalam tempoh 10 hari yang melebihi sasaran yang ditetapkan.

Dari 10 pagi hingga 10 malam selama 10 hari, sambutan yang diperolehi sangat menggalakkan malah menggembirakan penganjur. Sebanyak 137 petak reruai untuk pempamer dan lebih 700 petak digunakan oleh para penerbit menjadikan satu acara buku dan penerbitan terbesar dalam negara.

Jualan buku berbentuk fizikal adalah amat penting kepada pembangunan industri buku dengan meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat. Dari segi kualiti dan kuantiti judul bahan bacaan yang dipamerkan, terserlah peningkatan, terutamanya buku profesional dan akademik dalam Bahasa Melayu.

Objektif untuk memajukan industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bidang perbukuan. Bidang penulisan, penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan dan pemasaran buku akan terus terpelihara.

Dalam pada itu mempromosikan judul-judul terkini bahan terbitan tempatan tidak kira bahan bercetak dan bahan elektronik.

Disamping memupuk kesedaran tentang kepentingan buku untuk pembekal ilmu dan pengkayaan minda dalam pembinaan modal insan. Dengan menggalakkan budaya dan tabiat  membaca di semua peringkat terutama generasi muda, remaja dan kanak-kanak.

Kuala Lumpur dijadikan pusat bagi penerbitan dan pemasaran buku serta perdagangan hak cipta dan lesen perbukuan secara antarabangsa.

Sememangnya banyak kritikan kerana ada pihak mengatakan buku fizikal tidak lagi relevan, terhad dan bermacam-macam lagi tanpa ekspolarasi. 

Usaha untuk menyemarakkan kandungan tempatan sangat penting dan kritikal untuk mencetuskan cabang kreativiti lain. Ini bermula dengan industri buku yang baik, sama ada fizikal atau dalam talian atau online.

PBAKL  dianjurkan semula selepas dua tahun akibat penularan Covid-19.  Banyak penerbit dengan penulis terpaksa bergelut krisis kewangan akibat impak ekonomi yang menyeluruh.

Dengan penulis, pengarang, penerbit dan  ilustrator diberi ruang untuk mempromosikan karya-karya terbaharu sebagai bahan bacaan dan animasi kepada masyarakat.

Saya sudah memberi komplen tentang kurang buku berbahasa lain selain Bahasa Melayu walaupun namanya antarabangsa. Mana antarabangsanya PBAKL?

Yang datang hampir 100% orang Melayu Islam dilihat sepanjang 10 hari saya berada di reruai mandiri tingkat dua dibelakang pentas utama.

Kebetulan saya menjual 12 buku terbaharu saya seperti buku sastera, buku ilimiah dan travelog yang mendapat sambutan dari peminat-peminat yang datang untuk saya pertama kali berada di Malaysia setelah 18 tahun du UAE dan 5 tahun di New Zealand.. Saya juga bertemu dengan ramai VIP dan orang ramai yag sanggup membeli kesemua buku.

Dalam pada itu, saya mendapati judul-judul dan tajuk-tajuk buku dengan genre Islamik dan kerohanian, langsung tidak mempunyai imej Malaysia dan antarabangsa yang diwar-warkan.

Judul-judul buku keagamaan terus menyasarkan golongan orang dewasa malahan naratif yang sama dikenalpasti untuk buku kanak-kanak dan remaja. Para penjual juga berpakaian yang islamik dengan songkok dan kopiah.

Tersusun dengan kalimah seperti tarbiah, dakwah, syurga, neraka, kiamat dan istiqamah, semua asalnya bahasa Arab memenuhi kertas banting dan risalah promosi secara besaran.

Ada pula pameran jualan buku-buku dengan judul teori konspirasi seperti Illuminati, Freemason yang dilihat menjadi kegemaran remaja dan belia. Hampir semua pelajar   membeli buku-buku tersebut sehingga beratur panjang.

Lalu timbul keributan dan kekecohan di media sosial oleh segelintir pihak yang mempersoalkan fungsi dan objektif sebenar penganjuran PBAKL pada tahun ini dam masa hadapan.

Saya merasa ada baiknya diubah nama PBAKL kepada “Pesta Buku Melayu Islam Malaysia” ataupun “Pesta Buku Islamik Malaysia” kerana begitu banyak lambakan jualan buku genre agama.

Saya berjalan sebagai OKU perlahan-lahan keserata petak reruai setinggi empat tingkat dan mendapati sukar untuk melihat judul-judul buku selain bahasa Melayu dijual dan dipromosi.

Saya mendapati tiada langsung buku dalam bahasa Mandarin dan Tamil apalagi pengunjung yang berpusu-pusu ramai tidak memberi bayangan kepada kepelbagaian kaum dan suku bangsa yang ada.

Apa lagi saya mendapati kurangnya buku-buku dalam bahasa Inggeris.

Saya merasa trend lambakan buku genre agama yang banyak dengan mempersoalkan objektif utama penganjuran PBAKL. Namanya pesta buku antarabangsa tidak mungkin mencapai matlamat dengan hanya meletakkan bacaan agama dan terjemahan dari al-Quran.

Saya melihat perkembangan kebelakang kalau trend ini berterusan akan menguasai PBAKL dan  akan menjadi juadah minda dan pemikiran masyarakat terutama untuk generasi muda yang bakal menjadi dewasa.

Sepatutnya PBAKL menjadi milik kepunyaan dan kebanggaan rakyat Malaysia tetapi hanya menghidangkan buku-buku untuk orang Melayu Islam sahaja dengan pengunjung semua orang Melayu Islam.

Penganjur perlu ada diversiti mahupun inklusif dan imaginatif yang maju kehadapan untuk rakyat berbilang kaum. Corak penganjuran menyebabkan tiada bahasa lain untuk diketengahkan.

Bagi saya biarpun banyak buku bermanfaat dan berfaedah boleh didapati, tetapi jelas trend besar adalah buku agama yang kecenderungannya konservatif dan inklusif.

Saya merasa kritis untuk penulis yang berfikiran konservatif untuk masyarakat dengan satu jaluran sahaja tanpa kepelbagaian seperti sastera.

Saya telah mengunjungi pesta buku di Frankfurt, London, Paris dan bandaraya Amerika seperti San Francisco, Los Angeles yang memberi peluang kepada peminat buku untuk membeli karya-karya sastera tempatan malah dari kaum minoriti.

Dengan kedapatan buku-buku progresif dan kritikal yang sukar didapati dan dengan mudah terjual di pesta buku.

PBAKL seharusnya menjadi wadah dan ruang yang meraikan semua karya-karya tempatan dalam bahasa Mandarin, Tamil serta sastera dari negeri Sabah dan Sarawak. 

Saya rasa penulis cukup ramai tetapi penulis harus difikirkan secara serius untuk melahirkan pemikir-pemikir dan penulis-penulis yang progresif terutama dalam bidang sastera.

Saya melihat penulis muda yang menjadi selebriti dengan peminat-peminat muda langsung tiada sastera dalam penulisan. Bahasa Melayu moden dan canggih yang sukar saya menerima malah memahami.

Untuk itu usaha perlu proses pemindahan kapasiti yang banyak, panjang dan tidak boleh berhenti dengan ramai penulis remaja yang langsung tidak dari golongan sastera.

Selain bunyi bising yang menganggu pengunjung dan pempamer serta layanan untuk OKU tidak seperti Pesta Buku Selangor dengan kemudahan, rasanya PBAKL kali ini berjaya untuk masyarakat Melayu Islam yang berpusu datang.

Sehingga tahun depan, kita harap PBAKL diganti dengan nama Pesta Buku Melayu Islam Malaysia untuk lebih tepat mencerminkan realiti dan bertepatan dengan keadaan semasa.

Apa pendapat para pembaca? – 16 Jun, 2022.


* Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan kolumnis DagangNews.com

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen