Arul Kanda masih tertuduh bersama, kata peguam


Peguam N Sivananthan berkata bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy masih menjadi tertuduh bersama walaupun beliau mungkin dipanggil sebagai saksi pendakwaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2022.

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy masih menjadi tertuduh bersama walaupun beliau mungkin dipanggil sebagai saksi pendakwaan, kata peguamnya.

“Beliau bagaimanapun terpaksa memberi keterangan di bawah peruntukan Seksyen 63 Akta SPRM,” kata peguamnya N Sivananthan dalam satu kenyataan hari ini.

“Kedua, adalah pendirian anak guam saya bahawa apabila siasatan pertama kali dimulakan oleh SPRM dalam perkara ini beliau secara sukarela memberi kerjasama dan memberikan semua maklumat kepada penyiasat dalam pengetahuannya.

“Kedudukan beliau dahulu dan sekarang ialah beliau tidak sepatutnya didakwa dan dalam konteks itu sekiranya hakim memutuskan beliau menjadi saksi pendakwaan di bawah Seksyen 63 Akta SPRM (iaitu semasa masih dituduh bersama) maka dalam situasi itu beliau bersedia memberikan keterangan yang konsisten dengan kenyataan yang beliau berikan sebelum ini kepada SPRM,” kata Sivananthan dalam kenyataan itu.

Peguam Arul Kanda menjawab soalan media bahawa anak guamnya telah bertukar menjadi saksi pendakwaan terhadap Najib Razak yang dituduh bersamanya di mahkamah hari ini.

Awal hari ini Sivananthan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Arul Kanda bersedia untuk mempertahankan kenyataan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan kes berkenaan berlangsung.

Arul Kanda “dengan senang hati” dengan permintaan pihak pendakwaan, tambahnya. 

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 24 Jun ini untuk menyampaikan keputusannya selepas mendengar hujahan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram dan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee sebelum ini menentang permintaan itu dengan mengatakan pihak pendakwaan bertindak dengan niat jahat dan ia boleh mengakibatkan penyalahgunaan proses.

Beliau berkata pihak pendakwaan sepatutnya membuat permohonan itu pada awal perbicaraan pada 2019 supaya tidak membenarkan Arul Kanda mendengar keterangan daripada saksi lain.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya manakala Arul Kanda, 45, didakwa bersubahat dengan Najib.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih besar jika sabit kesalahan.  – 14 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen