Pembuat beca tertua Pulau Pinang mahu bersara


Mohd Farhan Darwis

Choo Yew Choon adalah generasi keempat pembuat beca di Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Jun, 2022.

CHOO Yew Choon, 65, antara pembuat beca terakhir di Pulau Pinang, merancang untuk bersara daripada pekerjaan yang diwarisinya sejak 35 tahun itu. 

Warga emas itu adalah generasi keempat pewaris pekerjaan yang merupakan aktiviti perniagaan turun-temurun keluarganya yang dianggarkan sudah berusia lebih daripada 100 tahun.

Choo mula terlibat secara langsung dalam aktiviti membuat dan membaik pulih beca di sekitar Pulau Pinang pada 1989 selepas bapanya jatuh sakit.

“Dahulu saya kerja kilang, apabila ayah sakit saya balik tolong (menguruskan perniagaan), waktu itu saya berusia 30 tahun.

“(Sekarang) sudah 35 tahun buat beca dan baik pulih beca tiga roda. Kedai sudah 100 tahun, saya generasi keempat pembuat beca, diwarisi daripada keluarga bapa,” kata Choo, kepada The Malaysian Insight.

Kedainya yang hari ini terletak di Jalan Pintal Tali, Pulau Pinang mula beroperasi pada 2003 dan bertahan hampir 20 tahun.

Perniagaan keluarganya itu bermula di Lebuh Chulia dan beroperasi lebih 80 tahun sebelum berpindah disebabkan kadar sewa bangunannya naik.

Beca yang dahulunya alat pengangkutan utama kini makin hilang ditelan zaman, menyukarkan usaha memelihara tradisi dan tarikan pelancongan ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Jun, 2022.

Choo kini merancang untuk bersara dan berhenti terus daripada terlibat membuat dan membaik pulih beca kerana umurnya semakin meningkat.

Ditambah lagi tiada anak-anak mahupun warisnya yang mahu menyambung legasi perniagaan itu kerana ia tidak memberikan pulangan yang setimpal.

“Dah tua mesti mahu berhenti, saya pun sudah tak larat, (dalam tempoh) tiga atau lima tahun lagi saya mahu berhenti. Ini kerja berat.

“Anak-anak semua kerja di luar negara. Anak sulung pernah cuba, setahun kemudian dia tak mahu, dia kata kerja ini dia tak boleh buat. 

“Ini kerja kena ada minat, kalau tidak minat ajar pun tak guna,” kata bapa kepada tiga anak itu.  

Anak-anaknya kata Choo bekerja di luar negara, di Singapura dan Thailand.

Tambah Choo, sukar baginya mencari pelapis memandangkan pekerjaan sebagai pembuat beca tidak menjanjikan hasil lumayan.

“Ada juga yang mahu belajar buat beca tapi saya tak terima. Ini kerja tak bawa untung banyak, kos tinggi, sewa tinggi, untung kurang,” katanya. 

Choo Yew Choon mula membuat beca pada 1985 selepas ayahnya jatuh sakit. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Jun, 2022.

Kesukaran mendapatkan alat ganti beca yang kebanyakannya diimport dari China dan Thailand juga punca Choo menimbangkan hasratnya untuk bersara.

“Ada sesetengah barang alat ganti yang sudah tidak ada lagi, seperti loceng beca, mana-mana barang yang menggunakan alat ganti basikal masih ada, tetapi kalau alat ganti untuk beca memang sudah tidak ada.

“Alat ganti susah nak cari, ada alat ganti yang sudah tidak dikeluarkan lagi jadi saya cari barang yang lama-lama.

“Sedikit hari lagi banyak barang yang sudah tidak ada lagi, barang-barang ini semua buatan tangan,“katanya.

Choo berkata, disebabkan kekangan usianya juga tempoh masa menyiapkan seunit beca menjadi lebih panjang daripada sepatutnya.

“Sekarang masih ada buat beca baru, untuk siapkan beca sepatutnya memakan masa 20 hari, tapi saya buat dalam masa 35 hari.

“Saya buat seorang sahaja, sebulan tak boleh siap, saya ada membaik pulih beca lagi,” katanya.

Alat ganti beca makin sukar didapati menyebabkan kesukaran kepada pembawa dan pembuat beca. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Jun, 2022.

Selain itu, tempahan untuk beca baharu juga katanya sangat sedikit hingga menyebabkan sukar baginya untuk terus bertahan. 

“Seunit beca sekarang berharga RM7,000. Tempahan pun sangat kurang, dalam setahun tempahan hanyalah antara tiga hingga empat unit beca sahaja, itu pun beca untuk pameran. Kalau penarik beca di sini tidak beli.

“Untuk tahun ini pun baru dua tempahan sahaja,” katanya.

Selain tempahan dari dalam negara, Choo juga pernah menerima tempahan beca daripada pelancong luar negara dan ekspatriat yang bekerja di Pulau Pinang untuk membawa beca yang ditempah itu pulang ke negara mereka. 

Choo berkata, beca hasil tangannya juga pernah dihantar ke Australia, New Zealand, Perancis, dan Jerman.

“Setakat ini saya sudah buat lebih 100 unit beca,” kata Choo.

Menurut Choo lagi, kerja sebagai pembuat beca tidak menjanjikan pendapatan lumayan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Jun, 2022.

Selain beca untuk membawa penumpang, Choo turut menghasilkan beca bagi kegunaan peniaga gerai tepi jalan.

Setiap rekaan beca roda tiga untuk peniagaan gerai tepi jalan pula katanya perlu dibuat mengikut spesifikasi tempahan dan perniagaan yang ingin dijalankan pemiliknya dan dijual pada kadar RM7,500 hingga RM8,000 seunit.

“Kalau gunakan untuk buat mee goreng depan kena ada dua lubang, satu untuk menggoreng, satu lagi untuk masakan, kalau jual sup, tengah ada lubang.

“Tempahan semua ikut jenis perniagaan mereka,” katanya.

Choo kini masih mampu bertahan menguruskan perniagaan berkenaan apabila kerajaan negeri Pulau Pinang ada menyediakan peruntukan kepada penarik beca untuk menyelenggaranya.

Penarik beca akan menghantar beca mereka untuk diselenggara kepada Choo dan pembayaran kemudiannya akan dibuat oleh kerajaan negeri.

Choo bagaimanapun tidak pasti sama ada akan terdapat kedai membuat beca lain bagi menggantikan kedainya apabila dia bersara nanti.

“Setakat ini, kalau kedai baik pulih ada lagi, kedai buat beca saya sahaja, saya tidak tahu kalau orang lain kalau ada buat beca.

“(Dalam tempoh) tiga atau empat tahun pun umur saya sudah dekat 70 tahun, nak buat apa lagi, pencen, bersaralah, duduk rumah, cadangannya macam inilah, tapi belum tahu lagi,” kata Choo, mengakhiri perbualannya. – 12 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen