Bon Odori: Yang kalut, yang kolot


KHUTBAH Jumaat semalam, 10 Jun, menyentuh beberapa perkara semasa. Ringkas, tetapi jelas. Lebih baik dan menarik berbanding minggu lalu – terlalu canggung. 

Secara asasnya khatib mengingatkan:

Pertama, umat Islam wajib memulia dan mempertahankan Rasulullah SAW. Apatah lagi apabila wujud kebiadaban dan penghinaan secara terang-terangan dalam nada yang sangat terbuka dan tidak bertanggungjawab.

Kedua, Islam adalah agama yang menghormati agama dan budaya lain. Al-Quran sangat tegas dalam melarang umat Islam daripada mencampuri, menghina atau mengganggu mana-mana penganut kepada mana-mana kepercayaan daripada mengamalkan pegangan mereka.

Ketiga, umat Islam dilarang sama sekali daripada terlibat dan mengambil bahagian dalam acara-acara yang mempunyai asas, pengaruh atau unsur-unsur keagamaan / kepercayaan lain.

Saranan dan peringatan khutbah ini relevan dengan isu semasa. Kecoh di luar sana, boleh atau tidak umat Islam menyertai festival Bon Odori?

Pada saya, ini bukan sahaja isu siapa yang betul dan lebih lantang dalam mengeluarkan kenyataan. Tetapi, kegagalan sebahagian kita untuk memahami bahawa sesuatu yang mempunyai asas, pengaruh atau unsur-unsur keagamaan selain Islam adalah dilarang sama sekali untuk disertai. Dilarang. 

Jadi, yang perlu diteliti dan dibahaskan, wujud atau tidak asas, pengaruh atau unsur-unsur keagamaan dalam sesuatu festival, perayaan atau sambutan. Jika wujud, tinggalkan. 

Malah, jika kita mahu lebih kritikal, pertimbangan yang lebih besar sebenarnya bukan pada perihal “boleh” atau “tidak boleh”. Tetapi “perlu” atau “tidak perlu” untuk turut terlibat?

Ada yang sampai berhujah, “Kalau itu pun tak boleh join, bila Malaysia ni nak maju?” Amboi Cik Karen. Jauh sangat perginya.

Barangkali kita terlepas memperhalus beberapa perkara.

Menghormati sesuatu perkara itu sebenarnya tidak pun perlu sampai terlibat sama dalam meraikannya. Mengapa kita pula yang terlebih gigih berbanding mereka yang meraikannya?

Kolot dalam konteks bersosial itu bukanlah pada gaya hidup yang kononnya tidak moden dan terkini.

Kolot itu adalah apabila kita berasa bahawa, untuk menjadi “terbuka”, menjadi moden, menjadi maju, maka kita harus mengikut dan menjadi seperti orang lain dalam semua perkara. Itu kolot.

Perkara yang melibatkan akidah tidak semestinya berlaku secara terus (direct) dan jelas (apparent). Hati-hati. Tidak salah mengambil pendekatan/pandangan yang sedikit tegas dan ketat. 

Hanya kerana kita rasa sesuatu perkara itu ringan, ringkas dan tidak terang-terangan bersifat keagamaan, tidak bermakna ia tidak bercanggah dengan akidah. Dalam kebanyakan hal, inilah yang berlaku.

Dalam hal ehwal Islam, elok kalau rujukan kita bukan pada PAS. Mereka itu parti politik. Bukan asas dan autoriti pun kepada ajaran Islam.

Apabila kita memilih untuk hidup beragama, maka dahulukanlah agama. Janganlah agama dikesampingkan hanya kerana mahu tampil “cool”, moden dan terbuka. 

Jangan bersikap ikut-ikutan. Zaman ini sarat dengan pemerintah yang tidak berilmu dan ilmuwan yang tidak berprinsip. 

Yang kalut, mempelawa. Yang kolot, memberi fatwa. 

Saat kita mula berasa agama itu menyusahkan, menghalang kemahuan dan tidak selari dengan selera sendiri, maka, apa lagi yang tinggal? – 11 Jun, 2022.    

* Mohd Daud Mat Din, pembaca The Malaysian Insight.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen