Kongres PKR ditunda ke 15-17 Julai, kata setiausaha agung


Kongres Nasional Tahunan PKR asalnya dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2022.

KONGRES Nasional Tahunan PKR yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 Jun ini ditangguhkan ke 15 hingga 17 Julai depan.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penetapan tarikh baharu itu adalah bagi membolehkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara yang telah dibangkitkan, berkaitan pemilihan parti baru-baru ini.

“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan telah meneliti beberapa dapatan dan syor yang dibentang JPP, berhubung proses aduan terutama bagi Pemilihan Keadilan 2022. 

“Setelah meneliti dan memberi pertimbangan kepada pembentangan JPP ini, MPP memutuskan tarikh baharu Kongres Nasional ke-16 pada 16 hingga 17 Julai 2022 mengambil kira tempoh masa yang diperlukan untuk JPP mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara yang telah dibangkitkan, serta memberi masa yang mencukupi kepada kepimpinan cabang baharu untuk membuat beberapa pelantikan,” katanya.

Saifuddin berkata kongres yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor akan dimulai dengan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat serta Kongres Wanita Keadilan (Wanita) Pusat pada 15 Julai dan disusuli dengan kongres nasional pada keesokan hari.

Mengikut perancangan sebelum ini, kongres AMK dan Wanita PKR akan berlangsung pada 24 Jun dan disusuli dengan kongres nasional pada 25 dan 26 Jun. – Bernama, 10 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen