JPN digesa percepat proses permohonan kerakyatan anak lahir luar negara


PERSATUAN Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontier) berharap pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dapat menyegerakan proses permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita dari Malaysia.

Jurucakapnya Bina Ramanand berkata kira-kira 70 ibu dari Malaysia telah menghantar dokumen kewarganegaraan di bawah Borang D atau Borang Permohonan Daftar Kelahiran Luar Negara, bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara, dan ada yang telah menghantarnya pada Disember lepas lagi, namun masih belum menerima apa-apa perkhabaran mengenainya.

“Kita tertanya-tanya mengapa prosesnya mengambil masa yang begitu lama. Para ibu yang memeriksa status mereka diberitahu bahawa prosesnya akan mengambil masa sehingga enam bulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ibu pejabat JPN di Putrajaya hari ini.

Pada 9 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warga Malaysia berkahwin yang dengan warga asing, seharusnya boleh secara automatik memperoleh kewarganegaraan Malaysia.

Sehubungan itu Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan mengeluarkan dokumen yang berkaitan seperti kad pengenalan, kepada kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu seorang ibu Ummal Remiza Khaja Mohideen, yang sedang memperjuangkan hak anak sulungnya untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia ketika ditemui di Putrajaya berkata, beliau telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada JPN pada Mac lepas dan masih menunggu jawapan sehingga kini.

Ummal Remiza berkahwin dengan warga Nigeria dan mempunyai dua lagi anak, kedua-duanya dilahirkan di Malaysia. Beliau bertekad kembali semata-mata bagi melahirkan dua anaknya itu dalam negara bagi mengelak berhadapan dengan masalah kewarganegaraan sebagaimana yang dialami anak sulungnya. – Bernama, 10 Jun, 2022.              



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen