PIHAK berkuasa negeri menolak permohonan seorang wanita berusia 40 tahun untuk membatalkan statusnya sebagai Muslim, lapor Malaysiakini.
Laporan memetik dokumen mahkamah itu menyebut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kerajaan dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang dinamakan sebagai responden, antara lain berhujah bahawa permohonan wanita itu memerlukan kebenaran dari Mahkamah Syariah dan bukan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Responden juga memetik kes Lina Joy, di mana Mahkamah Persekutuan pada 2007 menolak rayuan mengugurkan status Islam pada kad pengenalannya. Mahkamah Syariah perlu mengesahkan status agama sebelum pindaan di JPN dibuat, kata hakim dalam kes itu.
Dalam dokumen mahkamah dipetik Malaysiakini, ejen insurans itu mendakwa pendaftarannya sebagai Muslim dilakukan secara sepihak oleh bapanya pada 1990 semasa beliau berusia 10 tahun tanpa izin ibunya.
Ibu dan bapa pemohon bercerai pada 1993. Ibunya yang beragama Buddha kini menetap bersamanya di Kuala Lumpur.
Pemohon juga mendakwa beliau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam, sebaliknya menganuti agama Buddha.
Ejen insurans itu memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lalu, selepas pegawai JPN di Ipoh, Perak pada Ogos enggan memproses permohonannya untuk kmenggugurkan perkataan Islam pada kad pengenalannya.
Wanita itu juga memetik keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 yang membatalkan penukaran sepihak agama tiga anak guru tadika M India Gandhi. – 17 Mac, 2021.
Komen