PERKAHWINAN bagi masyarakat bukan Islam dibenarkan di 170 rumah ibadat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) juga akan membenarkan pendaftaran perkahwinan berlangsung di 170 rumah ibadat (kuil, gereja atau persatuan agama) yang diluluskan beroperasi oleh Kementerian Perpaduan Negara sepanjang tempoh PKP,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata semua pendaftaran perkahwinan Islam dan bukan Islam yang terjejas dan tertangguh sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diselesaikan sebelum 31 Julai ini.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat antara Majlis Keselamatan Negara dan JPN.
“Sekiranya anda telah memohon untuk mendaftar tetapi tidak dapat melakukannya kerana PKP, anda boleh mengajukan permohonan semula sebelum 31 Julai dan tidak ada bayaran dikenakan.
“JPN juga akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi urusan perkahwinan dan perceraian masyarakat bukan Islam,” tambah Ismail Sabri.
Sebelum ini, rumah ibadat bukan Islam diarahkan tutup bagi mengelakkan penularan Covid-19.
Bagaimanapun pada 28 Mei lalu, Kementerian Perpaduan Negara berkata, kerajaan membenarkan 174 rumah ibadat bukan Islam untuk meneruskan operasi bermula 10 Jun. – 7 Jun, 2020.
Komen