Agama kita bukan Shinto, raja bukan Tuhan


Faisal Tehrani

SELAMA ini orang Melayu amat bersederhana dalam urusan mereka dengan raja. Seperti termuat dalam teks kanun Melaka, Sulalatus Salatin, Sultan Alauddin Riayat Syah yang terkenal dengan adilnya, dan anti penjenayah serta perasuah itu mengumpamakan “rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tidak akan dapat berdiri…”

Saya pernah mengupas prinsip undang-undang di atas dalam satu rencana di kolum ini dengan judul “Penjenayah Berhari Raya di Istana”.

Maka timbul persoalan, dari manakah munculnya pandangan ekstrem yang mendewa dan menjadikan raja-raja seperti Tuhan? Seolah-olah orang Melayu mempunyai persamaan dengan orang Shinto Jepun yang menuhankan maharaja mereka? Tidakkah ini satu kesesatan menurut agama kita?

Sayugia diingatkan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad mengingatkan orang Melayu agar jangan meniru-niru faham orang Jepun khusus tatkala penganjuran festival tahunan Bon Odori iaitu perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka di Shah Alam.

Pandangan ekstrem yang menuhankan raja-raja ini sebenarnya, menurut penelitian saya, bermula di Pahang. Iaitu ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah antara 1592-1614. Pemerintahan baginda, dapatlah dikatakan merupakan satu “mimpi basah” untuk pemuja dan pentaksub Melayu-Islam. Padahal, seperti yang saya tekankan sebelumnya; orang Melayu dalam urusan menghormati raja-rajanya sangatlah bersederhana.

Tidaklah menghairankan Sultan Abdul Ghaffar dipuja dan dijulang seperti Tuhan (meskipun orang Melayu bukan beragama Shinto). Dalam tempoh itu, orang Melayu berdepan dengan masalah dan krisis keyakinan yang dahsyat.

Bayangkan, Melaka baru jatuh ke tangan Portugis dan digasak oleh Belanda. Perpecahan Melayu sukar dibayangkan kerana di satu pihak Johor Lama cuba bangkit bernafas, manakala pengaruh Arab sudah mulai menebar di Kampar-Siak. Riau pula sedang bangkit dengan acuman sekumpulan orang kasar dari Bugis.

Tatkala itu Perak sebagai pewaris Melaka yang sah sedang mekar, Pahang harus bersaing. Johor harus diingat terputus susur-galur kerajaannya selepas 1699 (peristiwa Sultan Mahmud mangkat dijulang).

Ketika era tersebut, Perak diperintah Sultan Alauddin Shah (iaitu Sultan Perak kelima) yang memerintah mulai 1594 sehingga 1603, dan adindanya Sultan Mahmud Shah Sultan Perak kelapan (yang memerintah mulai 1627 sehingga 1630.)

Baginda Sultan Alauddin dan Sultan Mahmud dipercayai alim, dan mempunyai hubungan akrab dengan para ulama seperti Sheikh Hussin Yamani. Pembesar dan agamawan di Pahang merasa perlu untuk mengangkat Sultan Abdul Ghaffar agar tertonjol di tengah kekacauan politik yang mencekam itu. Perlu ditonjolkan Pahang ada juga bagusnya melebih Perak.

Seperti hari ini juga, untuk menyatukan Melayu agar percaya dan fokus, satu strategi politik yang dapat dilakukan ialah mencandukan mereka dengan kepercayaan agama yang dibesar-besarkan. Makanya hukum qanun hudud diperkenalkan di Pahang tatkala itu, dan pada kepala undang-undang Islam tersebut, kedudukan raja-raja yang hanya sekadar pohon seperti di era Melaka kini sudah bertukar menjadi ala Tuhan.

Jika kita membaca teks Qanun Pahang, kita akan terkejut mendapati pemujaan berlebihan ala Shinto ini. Sebagai contoh dalam merujuk Sultan Abdul Ghaffar, kerajaan baginda itu dikatakan “Sultan Abdul Ghaffar yang dikekalkan Allah kerajaannya daripada dunia datang ke akhirat”.

Padahal kita tahu dalam ayat suci Al-Quran, Allah berfirman dalam ayat 26 surah Ali Imran, tiada kerajaan atau kekuasaan yang dapat kekal di dunia mahupun di akhirat melainkan kerajaan Tuhan, iaitu Allah.

Ayat Al-Quran tersebut terjemahannya berbunyi: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Namun demikian, penshintoan bangsa Melayu berlaku tanpa disedari. Maka orang Melayu diminta lupa raja sehebat Nabi Sulaiman pun mati menopang tongkat yang digerigit anai-anai. Demikian berlebihan, kerajaan Sultan Abdul Ghaffar dikatakan terpelihara dunia akhirat.

Kedahsyatan pemesongan (atau penshintoan?) minda Melayu agar raja diumpama sebagai Tuhan (padahal sebelum ini hanya sebagai pohon), kemudian dilakukan lagi dalam teks Kanun Pahang itu, dengan kenyataan begini:

“Shahadan maka dijadikannya antara segala makhluknya iaitu raja-raja seperti firman Allah Ta’ala dalam Quran ertinya “Bahawa sesungguh-sungguhnya aku hendak menjadikan Raja di dalam bumi akan gantiku.” Yakni raja-raja itu pada mengira-ngirakan ehwal segala hambanya ialah mengawali dia. Jikalau tiada raja-raja itu nescaya tiada akan bertentu ehwalnya segala rakyatnya, maka jadi mereka itu seperti kambing tiada bergembala maka dimakan orang yang keras akan orang yang dhaif seperti bait artinya bahawa pada orang yang budiman yang Raja itu dan Nabi itu umpama dua permata pada satu cincin.”

Perhatikan pada perenggan di atas penafsiran yang amat licik terhadap ayat 30 surah al-Baqarah yang terjemahannya berbunyi: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Di tangan agamawan ketika zaman Sultan Abdul Ghaffar, terma khalifah dalam sarwa pandang Ahlus Sunnah wal Jamaah iaitu – kita selaku manusia biasa – kini ditukarkan menjadi “raja di bumi untuk menggantikan Tuhan”.

Pemesongan tafsir itu membawa kepada kesan hanya raja yang boleh mengawal rakyatnya, dan kemudian rakyat diumpamakan sebagai kambing. Bukan itu saja raja dan nabi diletakkan di posisi yang sama, umpama dua permata pada satu cincin sesuatu yang tiada dalam ajaran agama kita.

Perumpamaan rakyat sebagai kambing itu jauh merosot dari perumpamaan indah dan puitik oleh Sultan Alauddin yang adil dan anti penjenayah serta perasuah itu. Jika Sultan Alauddin menyatakan rakyat adalah akar dan raja cuma pohon, Sultan Abdul Ghaffar dengan bantuan agamawan di zamannya yang ekstrem menukarkan rakyat seperti kambing tiada bergembala.

Ayat Al-Quran yang kita ketahui adalah mengenai diri manusia dan tanggungjawabnya sebagai pewaris muka bumi dipadamkan (atau dimanipulasi) dan semuanya dipusatkan kepada raja-raja belaka.

Teks Qanun Pahang yang rigid, jumud, tidak Islami dan agak berlebihan ini seterusnya menetapkan kedudukan rakyat sebagai subjek yang tidak boleh membantah dan hanya perlu menerima.

Dalam perenggan lain teks undang-undang yang menurut saya penuh campur tangan agamawan ekstrem itu terdapat kenyataan begini:

“Adapun segala raja-raja itu umpama seorang utusan berbuat tanaman, maka dihantarnya tanaman itu mana-mana kesukaan hatinya. Ada yang layak ditepi, ada yang layak di atas jambangan, masing-masing dihantarkan kepada mertabatnya kerana maksudnya berbuat tanaman itu akan pusaka kepada anak cucunya, memberi manfaat bagi dirinya seperti bunga dengan baunya atau akan pernaungannya atau akan ubat kesakitannya. Demikianlah maksudnya segala yang yang berbuat tanaman itu.”

Penelitian perenggan di atas menunjukkan setelah prinsip demokrasi bahawa rakyat itu akar dan raja itu pohon (yang dikemukakan Sultan Alauddin yang anti penjenayah dan perasuah itu) dipadamkan; satu petua atau laras undang-undang lain diperkenalkan.

Prinsip ini membawa kesan autokratik di mana raja itu adalah utusan berbuat tanaman dan boleh memperlakukan sekehendaknya bagai tanaman. Mana yang hendak dipetik untuk tujuan perhiasan dan diT20kan maka diberikan laba, peluang, kesempatan atau mungkin projek sedangkan yang dirasakan kurang manfaat maka dicampakkan atau diM40 menjadi tanaman yang sekadar berfungsi untuk menghilangkan rasa sakit atau untuk menerbitkan bau harum. Kumpulan B40 rakyat terbawah mungkin agaknya dibagaikan seperti lumut sahaja.

Perubahan ekstrem “ala Shinto” yang penuh dengan pemesongan maksud ayat suci Al-Quran di samping selit-selit hadis yang boleh diragukan (perlu ada kajian lanjut) menjadi inti tepu dalam Qanun Pahang ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar Mahuyiddin Shah tersebut.

Adalah sangat penting orang Melayu menyahshintokan ajaran yang memuja manusia lain sebagai Tuhan, sebaliknya memerdekakan diri mereka seperti mana tuntutan ajaran Islam Muhammadi manusia itu setelah mengucapkan dua kalimah syahadah adalah merdeka.

Orang Melayu juga perlu kembali kepada asas yang lebih sederhana seperti diutarakan Sultan Alauddin Riayat Syah yang anti penjenayah dan perasuah itu. Asas baginda yang adil itu ialah rakyat umpama akar, dan baginda selaku raja hanyalah pohon. Ia lebih cocok dengan prinsip demokrasi hari ini. – 7 Jun, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen