Potong komisen, kawal tambang e-hailing, kata kumpulan pengguna


Noel Achariam

Grab turut menawarkan perkhidmatan penghantar makanan yang dikenali sebagai Grab Food kepada penggunanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2022.

PENGENDALI e-hailing harus mengurangkan komisen mereka dan menyediakan lebih banyak insentif untuk pemandu, kata kumpulan pengguna.

Tambah mereka, tambang e-hailing juga perlu dikawal supaya perkhidmatan tersebut mampu dinaiki semua lapisan masyarakat.

Mereka juga menggesa kerajaan membuka sektor e-hailing untuk membawa lebih ramai pemain kecil.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, penumpang mengadu tambang e-hailing meningkat dengan ketara. Ini juga diburukkan dengan kekurangan kenderaan sedia ada.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Marimuthu Nadason berkata Grab – salah satu penyedia perkhidmatan popular – mengenakan 20% komisen daripada pemandunya.

Beliau berkata ini menyukarkan pemandu kerana mereka perlu menampung pelbagai kos lain termasuk penyelenggaraan kenderaan, mendapatkan lesen dan kelulusan kerajaan serta kos bahan api.

“Jadi, ia bukan mudah untuk pemandu. Penyedia perkhidmatan sepatutnya mengenakan caj 10% sahaja (komisen) kepada pemandu, barulah untung bagi mereka (pemandu).

“Disebabkan komisen yang tinggi ini, saya dengar ramai yang tidak mahu melakukan Grab. Lagipun kos sara hidup meningkat. Ia semakin menyukarkan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, satu lagi punca kekurangan pemandu mungkin adalah disebabkan pengendali e-hailing tidak memberikan insentif menarik.

Penumpang mengadu tentang lonjakan harga e-hailing semasa dan kekurangan pemandu, terutamanya pada waktu puncak.

Tambang perkhidmatan dilapor meningkat sehingga 400% pada waktu puncak, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan pengguna.

Tambang e-hailing perlu dikawal supaya perkhidmatan itu digunakan semua lapisan masyarakat, kata Presiden Fomca Marimuthu Nadason. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2022.

Grab Malaysia berkata mereka tidak membuat sebarang perubahan pada struktur tambang mereka kerana mereka menggunakan model harga dinamik bagi memastikan penumpang sampai ke destinasi manakala rakan kongsi pemandu diberi pampasan yang adil untuk masa dan usaha mereka.

“Apabila lebih ramai menempah perjalanan berbanding bilangan pemandu yang ada di sesuatu kawasan, tambang akan ‘meningkat’ atau naik untuk menggalakkan lebih ramai pemandu menuju ke tempat penumpang berada.

“Turun naik harga yang dilihat pengguna kami disebabkan kekurangan pemandu di jalan raya untuk menerima peningkatan mendadak dalam permintaan perjalanan daripada penumpang kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Grab berkata sehingga pertengahan Mei tahun ini, bilangan rakan kongsi pemandu di platform mereka masih kurang daripada 70% berbanding sebelum pandemik.

Marimuthu berkata beliau menggunakan Grab sejak tujuh tahun lalu dan ini merupakan kenaikan tambang terburuk yang dialaminya sejak beberapa minggu lalu.

“Tambangnya terlalu tinggi. Dalam empat minggu lalu harganya amat teruk.

“Untuk ke pejabat di Shah Alam dulunya RM18 hingga RM20, tetapi kini naik kepada RM31. Kadang-kala sewaktu pulang ke rumah di Petaling Jaya ia boleh mencecah RM40.

“Oleh kerana kekurangan pemandu, kami terpaksa menunggu 20 hingga 25 minit bagi mendapatkan kenderaan. Ia membebankan (untuk pengguna).”

Beliau berkata kerajaan harus membuka perkhidmatan e-hailing dan memberi lebih banyak lesen syarikat untuk beroperasi.

Katanya, ia boleh dilakukan di peringkat tempatan dan pengendali tidak perlu menjadi pemain utama (perkhidmatan e-hailing di seluruh negara).

“Pengusaha boleh bermula di bandar yang lebih kecil. Mereka boleh memainkan peranan dengan menyediakan e-hailing di sekitar kawasan mereka.

“Kerajaan harus membenarkan lebih banyak perkhidmatan e-hailing.” – 6 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen