Pakatan silap hapuskan GST, kata Nazir


Noel Achariam

Nazir Razak menyokong pelaksanaan semula GST jika ia dilakukan dengan cara yang betul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) membuat kesilapan dengan menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata bekas pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, Nazir Razak.

MalaysiaKini melaporkan Nazir, yang merupakan adik kepada bekas perdana menteri Najib Razak berkata melaksanakan GST dengan betul adalah “cara yang betul bagi jangka panjang”.

“Pertama, GST adalah cara yang betul. Tetapi ia perlu dilaksanakan dengan cara yang betul.

“Adalah kesilapan PH menghapuskan GST. Mereka harus mengurangkan GST dan memberi lebih banyak pengecualian kepada golongan berpendapatan rendah.

“Tetapi ia (GST) adalah sesuatu yang perlu dalam jangka masa panjang,” katanya selepas memperkenalkan bukunya “Di Sebalik Nama” semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia KL.

Nazir menjawab soalan berhubung kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini yang kerajaan berminat untuk memperkenalkan semula GST.

Pada Rabu, Ismail Sabri berkata kerajaan menyedari ketidakpopularan GST tetapi mempunyai pilihan terhad, sambil menambah pemansuhannya menyebabkan negara rugi RM20 bilion hasil tahunan.

Beliau berkata kerajaan akan menetapkan kadar impak minimum kepada pembayar cukai.

Najib memperkenalkan cukai kontroversi itu pada 2015, tetapi dibatalkan tiga tahun kemudian oleh perdana menteri PH ketika itu Dr Mahathir Mohamad, sebagai sebahagian daripada ikrar manifesto pilihan raya gabungan itu.

Nazir juga berkata Putrajaya harus melihat untuk mengenakan cukai lebih rendah ke atas rakyat kerana mereka berdepan kenaikan harga barang dan mengalami kesan pandemik Covid-19.

Beliau mencadangkan agar kerajaan mengenakan cukai lebih banyak kepada golongan kaya, termasuk mengenakan ‘cukai durian runtuh” (windfall tax).

“Banyak negara menyedari ini, (bahawa) jika mereka tidak meningkatkan pendapatan, cukai mereka, maka kita tidak dapat membantu orang miskin.”

Mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Nazir berkata ia akan menjadi gangguan, tetapi ia tidak semestinya menjejaskan ekonomi.

“Saya rasa banyak perkara menentukan bila pilihan raya dan kita serahkan kepada perdana menteri dan lain-lain untuk membuat keputusan.

“Kesan kepada ekonomi? Hari ini kita mempunyai banyak cabaran, tetapi kita tahu kita perlu mengadakan pilihan raya juga.”

Semalam, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata Ismail Sabri mesti lebih tegas dan konsisten dalam pendiriannya mengenai bila PRU15 akan diadakan.

Beliau berkata Ismail Sabri tidak seharusnya memberikan mesej “flip-flop” yang hanya akan membawa kepada ketidakstabilan politik berterusan dan menjejaskan keadaan ekonomi negara.

“Keputusan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah atas budi bicara perdana menteri.

“Keputusan yang sangat penting ini tidak boleh dipengaruhi oleh pihak yang tiada kaitan yang hanya mementingkan survival politik mereka.”

Loke merujuk kepada wawancara Ismail Sabri dengan media Jepun Nikkei, yang disiarkan Isnin lalu, di mana beliau berkata pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana kos sara hidup rakyat perlu ditangani.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya dalam tempoh 48 jam, Ismail Sabri menukar nada ketika berucap pada Konvensyen Barisan Nasional pada Rabu. – 3 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen