Hotel bajet akan naikkan harga sebanyak 50%, kata pemain industri


Khoo Gek San

Menurut pemain industri, kekurangan tenaga kerja dalam industri perhotelan terutamanya hotel bajet menjadi antara punca kenaikan kos perniagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2022.

HOTEL bajet akan meningkatkan kadar harga bilik sebanyak 50 peratus disebabkan kos overhed yang melambung tinggi, kata pemain industri.

Mereka berkata kos menjalankan perniagaan telah meningkat berikutan gaji minimum baharu RM1,500, serta kekurangan buruh.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussein, berkata selain faktor ini, kenaikan kadar elektrik juga menyebabkan ahli menaikkan harga mereka.

“Ahli telah mengubah kadar bilik hotel sebanyak 50 hingga 60 peratus,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ini berlaku di beberapa negeri, tambahnya.

“Industri perhotelan masih pulih. Dan segala-galanya (kenaikan kos) datang pada masa yang sama. Ia menjejaskan kos operasi kami.”

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA) Johor Jarod Chia berkata pembekal perkhidmatan kepada hotel juga telah menaikkan harga.

“Dobi telah menaikkan kadar mereka sebanyak 15 peratus, manakala gaji minimum telah menaikkan bil gaji kami sebanyak 25 peratus dan kos keseluruhan kami telah meningkat 35 peratus,” katanya.

“Tetapi kerana industri belum pulih sepenuhnya, kami tidak boleh menaikkan harga terlalu banyak. Kadar harga bilik baharu akan berkuat kuasa pada 1 Jun.”

Industri ini berjalan lancar selepas sempadan negara dibuka semula, tetapi kekurangan kakitangan pembersihan juga merupakan masalah besar, katanya.

Chia berkata beliau berharap kerajaan memberi masa kepada hotel untuk menyesuaikan diri memandangkan wabak Covid-19 menyebabkan mereka kembali teruk.

“Kami baru mulakan semula dan kos hampir semuanya telah meningkat. Kami telah merayu kepada kerajaan untuk menangguhkan gaji minimum RM1,500 selama enam bulan untuk membenarkan kami sesuaikan diri.”

Hotel bersaiz kecil dan sederhana akan bergelut untuk bersaing dengan hotel besar dan homestay, katanya.

“Hotel besar membayar gaji lebih tinggi dan mereka tidak mengalami kekurangan tenaga kerja yang teruk.

“Selepas pandemik, kebanyakan pelancong memilih untuk tinggal di inap desa, menyukarkan pemain yang lebih kecil untuk bertahan.”

Hotel kecil dan sederhana biasanya hanya meraih pendapatan semasa cuti panjang dan cuti umum, kata Chia.

Pada hari bekerja, kadar penghunian adalah rendah, memaksa hotel mengawal kos overhed atau berisiko ditutup, katanya.

“Jika ada yang sudi membeli perniagaan kami, kami sedia menjual.”

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Lim Mee Lee berkata kadar hotel di Pulau Pinang lebih tinggi pada hujung minggu dan cuti umum.

“Ini kerana terdapat lebih ramai pelancong pada cuti umum jadi kadarnya lebih tinggi sedikit.”

Semasa wabak itu, kebanyakan hotel di Pulau Pinang mengurangkan kadar harga bilik untuk menarik pelancong, katanya. – 4 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen