Hotel bajet kurang pekerja, tak boleh beroperasi penuh


Noel Achariam

Sektor hotel bajet berdepan masalah kekurangan pekerja yang memaksa mereka tidak beroperasi sepenuhnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2022.

HOTEL bajet sukar beroperasi sepenuhnya kerana mereka berdepan masalah kekurangan pekerja, kata Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA).

Presiden MyBHA Emmy Suraya Hussen berkata sejak perjalanan rentas negeri dibenarkan, sebilangan hotel bajet sudah mula menyambung operasi.

“Tetapi ada juga yang tidak dapat beroperasi lagi kerana mereka berdepan masalah kekurangan pekerja.

“Juga wujud hotel bajet yang tidak boleh beroperasi 100%. Yang bermakna jika mereka ada 100 buah bilik mereka tidak dapat menggunakan semua unit ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah Emmy, pada masa sekarang sebilangan hotel bajet hanya boleh beroperasi pada kapasiti 60% hingga 70% sahaja.

“Perniagaan hotel bajet bergantung kepada berapa ramai pekerja mereka ada untuk beroperasi.

“Dengan jumlah pekerja terhad, mereka hanya boleh beroperasi berdasarkan tenaga kerja yang ada.”

Bulan lepas, Malaysia membuka semula sempadan ketika negara mula beralih ke fasa endemic Covid-19 dengan kerajaan melonggarkan pelbagai SOP yang ada.

Antara kelonggaran diberikan adalah tiada lagi sekatan pergerakan mereka yang belum divaksin, melanjutkan waktu operasi dan membenarkan perhimpunan ramai, penjarakan sosial juga tidak lagi dikuatkuasa di rumah ibadat.  

Sepanjang pandemik berlaku, industri pelancongan adalah sektor ekonomi paling teruk terjejas dan kini terdesak untuk menjana semula perolehan.

Kelonggaran SOP diumumkan kerajaan ketika negara sedang memasuki fasa endemik akan perlahan-lahan mengukuhkan semula sektor hotel bajet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2022.

Emmy berkata sebelum ini mereka mempunyai 2,360 orang ahli persatuan, tetapi pandemik menyebabkan ada antara ahli yang terpaksa menghentikan sementara operasi dan ada juga yang gulung tikar.

Beliau, bagaimanapun, bersyukur kerana sambutan Hari Raya memberi kesan baik kepada perniagaan mereka.

“Sepanjang musim perayaan kami menyaksikan peningkatan pelanggan terutamanya di resort dan kawasan luar bandar.

“Kami menjangkakan lebih banyak tempahan akan dibuat sehingga hujung bulan ini kerana orang ramai masih berjalan untuk Hari Raya.”

Bagi pelancong asing pula, beliau berkata pembukaan semula sempadan turut dijangka meningkatkan aktiviti perniagaan.

“Ada hotel bajet di Kuala Lumpur sudah mula menerima tempahan dari luar negara.

“Kebanyakannya dari Indonesia, Thailand dan Brunei. Jadi, kami jangka pertengahan Mei kita boleh lihat peningkatan perlahan-lahan perniagaan.”

Emmy menambah yang mereka menjangkakan hotel bajet akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk pulih disebabkan faktor kos dan kekurangan pekerja.

Gaji minimum baharu gagal ambil kira kelangsungan perniagaan

Timbalan Presiden MyBHA Sri Ganesh Michiel pula berkata industri hotel bajet sedang mencari penyelesaian untuk pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Beliau berharap kerajaan akan membantu menangani isu yang dihadapi industri itu yang boleh menjejaskan kelangsungan sektor.

Ganesh berkata mereka terkejut dengan tindakan kerajaan menguatkuasakan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan tanpa sebarang perbincangan dengan industri.

Kadar baharu gaji minimum akan menambah beban kepada usaha pemulihan sektor hotel bajet, kata persatuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2022.

“Kami mengalu-alukan penguatkuasaan gaji minimum jika ia adalah untuk melindungi kebajikan pekerja industri hotel dan pelancongan.

“Tetapi ia perlu dilaksanakan selaras dengan penyelesaian ancaman kepada industri yang sekian lama menyebabkan pengurangan pendapatan yang kini menjadi ancaman utama.”

Tambahnya mereka akan meminta kerajaan untuk menangguhkan sementara penguatkuasa kadar baharu gaji minimum sementara menunggu industri untuk pulih.

Tambahnya, ini membolehkan industri dapat mengukuhkan aliran tunai dan kedudukan kewangan sebelum menguatkuasakan kadar baharu gaji minimum yang memelihara kebajikan pekerja mereka.

“Kami tidak menentang keputusan untuk menjaga kebajikan pekerja kami tetapi ia perlu dilaksanakan dengan mekanisma menang-menang untuk semua pihak, dan ini (penguatkuasaan sekarang) tidak begitu.”

Katanya lagi, dengan kadar baharu gaji minimum itu, industri akan terbeban dengan peningkatan kos operasi sedangkan kadar caj perkhidmatan daripada pembekal akan naik yang boleh memaksa perniagaan gulung tikar.

“Kesan ini akan berlaku apabila pengendali (hotel bajet) berdepan masalah tunai dan kewangan disebabkan pandemik Covid-19.”

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac lalu mengumumkan yang kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan bermula 1 Mei tahun ini.

Arahan Gaji Minimum itu dikeluarkan Menteri Sumber Manusia M.Saravanan diterbitkan di dalam Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuatnaik di laman web Jabatan Peguam Negara.

Gazet itu juga menyatakan yang kadar gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan bermula 1 Mei hanya dikecualikan kepada majikan yang menggaji kurang lima pekerja.

Bagi kategori ini, ia hanya dikuatkuasakan pada 1 Januari 2023.

Pembukaan semula sempadan antarabangsa akan terjejas jika perkhidmatan hotel tidak dapat dikembalikan kepada tahap kualiti sebelum pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2022.

Satu lagi kesan penguatkuasaan kadar baharu gaji minimum, kata Ganesh, adalah majikan terpaksa mengurangkan jumlah pekerja kerana peningkatan kos operasi.

“Jika kos operasi hotel bajet tinggi dan kadar sewa bilik murah, bagaimana kita hendak kekalkan pekerja?

“Jadi ada operator hotel bajet yang mengurangkan kos dengan mengurangkan jumlah pekerja mereka.”

Tambahnya, ini akan menyebabkan industri menaikkan harga bagi memastikan perkhidmatan diberikan memuaskan yang kemudiannya akan memberi kesan kepada pelancong asing.

“Antara kesan kegagalan mengakui wujudnya ancaman kepada industri adalah operator hotel akan mengurangkan jumlah pekerja yang secara langsung memberi kesan kepada perkhidmatan hotel.

“Operator terpaksa mengurangkan gaji pekerja eksekutif atau menamatkan perkhidmatan mereka atau mengurangkan jumlah kerja lebih masa bagi mendapatkan aliran tunai mencukupi bagi meneruskan perniagaan mereka.” – 16 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen