Vinosiny hilang peluang jadi akauntan, kata bapanya


Raevathi Supramaniam

R Sivakumar, bapa kepada Vinosiny Sivakumar berkata kematian anaknya secara tiba-tiba itu sangat menyedihkan mereka sekeluarga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Jun, 2022.

R SIVAKUMAR masih tidak percaya yang beliau tidak boleh lagi melihata atau bercakap dengan anak perempuannya, Vinosiny Sivakumar.

Beliau yang juga seorang ahli perniagaan berkata kematian anaknya secara tiba-tiba itu sangat menyedihkan mereka sekeluarga.

“Sejak usia sangat muda, dia hendak jadi akauntan. Saya tidak tahu mana dia dapat idea untuk jadi akauntan kerana saya dan isteri bukan akauntan,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di rumahnya di Klang.

“Dia mengimpikan bekerja di firma akauntan Big Four, tetapi sayangnya dia hilang peluang itu.”

Vinosiny, 20, ditemui mati di biliknya di kampus Sintok, Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kedah pada Sabtu lalu.

Pelajar semester empat itu mengambil jurusan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat).

Keluarganya percaya beliau meninggal dunia kerana renjatan elektrik dan membuat laporan polis terhadap UUM, mendakwa universiti itu cuai.

Polis Kedah berkata ada kemungkinan punca kematian ialah renjatan elektrik, tetapi punca sebenar akan ditentukan menerusi laporan bedah siasat.

Sivakumar berkata beliau ingat lagi anak perempuannya itu sangat teruja untuk pulang ke kampus selepas tiga semester pengajiannya hanya di rumah di Klang menerusi pembelajaran atas talian.

“Dia teruja hendak ke kampus. Dia dan ibunya keluar beli-belah, membeli baju baharu dan barang keperluannya yang lain.

“Dia tidak pernah merungut tentang apa-apa pun di kolej, tidak mengadu pada saya atau ibunya,” katanya.

Vinosiny Sivakumar, 20, ditemui mati di biliknya di kampus Sintok, Universiti Utara Malaysia di Kedah pada Sabtu lalu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Jun, 2022.

Sungguh tidak disangka, hanya seminggu Vinosiny berada di kampus, sebelum keluarganya menerima panggilan dari universiti yang beliau sudah meninggal dunia.

Sivakumar berkata anaknya itu seorang yang bijak sejak zaman kanak-kanak.

“Dia sangat berbakat. Dia sangat pemalu dan sering membaca buku dan belajar.”

Vinosiny adalah murid SJKT Simpang Lima, Klang dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke MRSM Pasir Salak, Perak dari tingkatan satu hingga tiga.

“Beliau mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang akaun dan aliran seni. Jadi kami pindahkan dia ke SMK Perempuan Methodist Klang. Dia pelajar terbaik bagi tahunnya dan mendapat keputusan 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.”

Sivakumar berkata Vinosiny diterima masuk ke Kolej Matrikulasi Pulau Pinang sebelum menerima biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke UUM.

Adik-beradik Vinosiny juga mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka. Abang Vinosiny juga menerima biasiswa JPA dan pada masa ini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Jerman, sementara kakaknya sedang menjalani latihan amali di Ernst and Young.

“Adik-beradiknya sangat merinduinya, terutama adiknya yang kini di tingkatan lima. Mereka yang paling dekat umur.” – 3 Jun, 2022.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen