Bapa pelajar UUM meninggal dunia di kampus pertimbang tindakan undang-undang


Raevathi Supramaniam

R Sivakumar, bapa kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang meninggal dunia di kampus Sabtu lalu, sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak universiti yang didakwanya tidak memaklumkan perkara sebenar mengenai kematian anak perempuannya.

Vinosiny Sivakumar, 20, ditemui mati di dalam biliknya pada Sabtu di kampus UUM di Sintok, Kedah.

Polis Kedah berkata renjatan elektrik berkemungkinan menjadi punca kematian, namun masih menunggu laporan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar.

Sivakumar, 53, berkata, anak perempuannya berada di semester keempat dalam pengajian perakaunan dan sistem maklumat dan baru pulang ke kampus seminggu sebelum tragedi itu.

“Saya baru sahaja menghantarnya ke sana seminggu yang lalu dan seminggu kemudian saya mengambilnya dalam keranda,” kata Sivakumar kepada The Malaysian Insight.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu. Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada pelajar lain, tetapi saya akan menunggu keputusan rasmi bedah siasat dahulu.”

Sivakumar berkata beliau dimaklumkan secara lisan oleh koroner bahawa punca kematian anak perempuannya adalah terkena renjatan elektrik, yang mana ianya berbeza daripada apa yang diberitahu oleh pihak universiti kepadanya.

“Mereka tidak beritahu saya perkara sebenar. Mereka berkata anak perempuan saya rebah, dan mereka berkata tidak tahu sebabnya. Mereka hanya memberitahu saya bahawa dia sudah mati apabila saya bertanya sama ada dia masih hidup.

“Mereka juga memberitahu saya bahawa dia meninggal dunia akibat sawan, tetapi apabila saya bertanya kepada doktor sama ada terdapat sebarang kerosakan pada otaknya, dia berkata tidak ada apa-apa.”

Beliau berkata badan Vinosiny mempunyai kesan melecur yang jelas di muka dan tangan kanan, malah dua jarinya bertukar warna ungu kehitaman apabila doktor menunjukkan mayatnya di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

“Jika dia tidak mempunyai sebarang kesan, mengapa mereka menutup kedua-dua lengannya apabila mereka membawa mayatnya pergi?,” soalnya. – 24 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen