UUM perkenal sistem e-Konvo guna RFID


Naib Canselor UUM Haim Hilman Abdullah berkata, penggunaan sistem baharu itu mempunyai dua fungsi iaitu sistem pengurusan jubah dan sistem panggilan nama graduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) buat julung kalinya akan menggunakan sistem e-Konvo berasaskan teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID) pada majlis konvokesyen ke-33 UUM selama seminggu di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok, Kedah bermula esok.

Naib Canselor UUM Haim Hilman Abdullah, berkata penggunaan sistem baharu itu mempunyai dua fungsi utama iaitu sistem pengurusan jubah dan sistem panggilan nama graduan.

“Teknologi RFID yang menggunakan medan elektromagnetik frekuensi radio akan memindahkan maklumat daripada tag RFID ke pembaca RFID untuk tujuan pengenalan yang dapat digunakan dalam pelbagai aplikasi.

“Ia juga dapat mengurangkan sentuhan dan interaksi secara langsung dalam jarak yang dekat antara graduan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 sepanjang tempoh konvokesyen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tag RFID yang bersaiz kecil dan mempunyai tahap ketahanan yang tinggi serta dapat digunakan dalam jangka masa lama akan disematkan pada semua jubah graduan bagi membolehkan jubah yang disewa oleh graduan dikesan semula.

“Teknologi ini dapat membantu pengurusan jubah dengan lebih cekap serta dapat menjana laporan inventori jubah dengan cepat dan efisien. Sementara itu, untuk sistem panggilan nama graduan, ia akan dikesan oleh pengimbas RFID dan nama mereka akan diumumkan secara automatik untuk mengambil skrol ijazah.

“Dahulu, penggunaan kad pintar memerlukan petugas menyentuh kad berkenaan tetapi dengan teknologi RFID ini dapat mengurangkan tenaga kerja staf, risiko kehilangan jubah serta meminimumkan kesilapan mengumumkan identiti graduan semasa menerima ijazah,” katanya.

Jelasnya, universiti itu berbangga kerana UUM Information Technology (UUMIT) mengambil inisiatif membangunkan teknologi berkenaan. – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen