3 lelaki warga asing didakwa edar kanabis 


TIGA lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 205 gram di sebuah kondominium, bulan lepas.

Ahmed Mohammed Qasem, 24, dan Hussein Mohamed Ali, 30, kedua-duanya pelajar kolej swasta warga Yaman serta penganggur warga Sudan, Reda Hassan Ameen Mohamed, 30, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah itu di sebuah kondominium di Jalan Persiaran Surian di Petaling Jaya pada 8.30 malam, 22 Mei lepas mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat manakala peguam Mohd Ruzaini Zulkifli mewakili Hussein Mohamed dan Ahmed Mohammed manakala Reda Hassan diwakili peguam Shahrul Amali Shafie.

Pada 23 Mei lepas, media melaporkan tiga lelaki warga asing ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah menerusi serbuan di Petaling Jaya dan hasil pemeriksaan polis di premis itu menemukan 10 ketulan daun kering kanabis dan satu bungkus ceraian daun yang sama seberat 205 gram. – Bernama, 2 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen