Thomas nafi gugurkan tuduhan dadah terhadap anak Vincent Tan


Bekas Peguam Negara Tommy Thomas berkata pertuduhan dadah terhadap anak Vincent Tan dikurangkan selepas representasi daripada peguam tertuduh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2022.

TOMMY Thomas berkata beliau tidak menutup kes melibatkan pertuduhan dadah terhadap anak ahli perniagaan terkenal Vincent Tan semasa menjadi Peguam Negara seperti yang didakwa dalam satu catatan dibuat oleh Twitter Edisi Khas (@ES_EdisiKhas) lewat malam tadi.

“Seingat saya dalam kes ini tertuduh - anak kepada ahli perniagaan terkenal Vincent Tan ditangkap atas kesalahan dadah dan didakwa.

“Seperti biasa dalam hal jenayah peguam yang mewakili tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mempertimbangkan semula keputusan pertuduhan. Surat ini dibawa ke perhatian saya, atas keputusan saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Thomas berkata beliau mengurangkan pertuduhan selepas meneliti representasi dan kertas siasatan, mengkaji peruntukan undang-undang berkaitan dan perbincangan dengan pegawai kes.

“Menerima representasi daripada peguam dan tertuduh serta mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan selepas itu adalah perkara biasa dalam AGC (Jabatan Peguam Negara),” katanya sambil menambah tanpa akses kepada fail, beliau tidak dapat memberikan butiran lanjut.

Thomas berkata demikian sebagai maklum balas terhadap catatan di Twitter Edisi Khas yang mendakwa pada 10 Disember 2019 anak lelaki Tan ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dengan kuantiti dadah yang banyak. 

Lewat malam tadi menerusi Twitter Edisi Khas mereka mendakwa pada 10 Disember 2019 anak lelaki Tan didapati memiliki sejumlah besar dadah dan ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Catatan itu kemudian mendakwa Thomas telah menutup kes itu dengan mengatakan tiada tindakan lanjut diambil.

Thomas berkata dakwaan Edisi Khas bahawa beliau melakukan rasuah dalam konteks hantaran itu membayangkan beliau sudah disogok.

“Sepanjang kerjaya profesional saya dan dalam kehidupan peribadi saya, saya tidak pernah membayar rasuah. Sepanjang saya berkhidmat sebagai pegawai awam, saya tidak pernah menerima rasuah.

“Integriti, kejujuran dan kebenaran adalah nilai yang diterapkan dalam diri saya sebagai anak kecil dan dipupuk di sekolah. Mereka melayani saya dengan baik semasa dewasa.

“Akhirnya integriti, kejujuran dan kebenaran adalah nilai berharga bagi saya. Dakwaan saya disogok semasa saya mengambil keputusan ini oleh itu dinafikan sekeras-kerasnya,” katanya dalam kenyataan itu. – 19 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen