Kumpulan OKU gesa kerajaan batal sistem kad tanpa tunai


Noel Achariam

Golongan OKU mahu kerajaan membatalkan projek perintis skim bayaran tanpa tunai JKMPay yang didapati menyukarkan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Jun, 2022.

PENGGUNA berkerusi roda mahu Putrajaya membatalkan projek perintis skim pembayaran tanpa tunai kad Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMPay) dan mengembalikan semula elaun insentif tunai bulanan mereka.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa kumpulan itu mendapati sukar untuk mengakses cawangan tertentu bagi membeli barangan runcit, ubat-ubatan dan kemudahan lain.

Ini kerana kata mereka kad itu hanya boleh digunakan di kedai terpilih yang kebanyakan kedainya tidak mesra kerusi roda.

Golongan orang kurang upaya (OKU) itu juga berkata cawangan terpilih terletak jauh dari tempat mereka menginap dan tidak mempunyai akses kepada pengangkutan menyebabkan mereka menggunakan perkhidmatan e-hailing yang memakan kos elaun bulanan mereka.

Presiden Independent Living and Training Centre Malaysia (ILTC) Francis Siva berkata pelaksanaan JKMPay menindas golongan OKU kerana menyekat kebebasan mereka membelanjakan wang bantuan itu.

“Mereka menyediakan senarai cawangan untuk dipilih tetapi banyak kedai tidak mempunyai akses kerusi roda. Beberapa produk yang kami inginkan juga tidak terdapat di kedai terpilih.

“Harga barangan juga tinggi berbanding pasar raya besar dan ini menyebabkan kami berbelanja lebih sedikit daripada apa yang kami dapat,” kata Siva kepada The Malaysian Insight.

Siva berkata pengangkutan juga menjadi isu kerana ramai yang terpaksa bergantung kepada orang lain bagi mendapatkan bantuan atau menggunakan perkhidmatan e-hailing.

“Ia bukan murah untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing. Tambahan pula jika kita perlu pergi ke lebih daripada satu cawangan ia akan menyebabkan kos yang lebih tinggi.

“Ini mengarut kerana menteri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun) tidak berada di tempat kami. Hanya OKU sahaja yang tahu nasib kami,” katanya.

Presiden Independent Living and Training Centre Malaysia Francis Siva berkata pelaksanaan JKMPay menindas golongan OKU. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Jun, 2022.

Projek perintis JKMPay dilancarkan oleh Rina pada April tahun lalu di mana separuh daripada bantuan tunai untuk OKU akan diagihkan melalui kad tanpa tunai manakala selebihnya akan dihantar ke akaun mereka.

Program yang dilancarkan dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad itu membolehkan OKU menggunakan kad tersebut di kedai yang berdaftar dengan bank itu.

Tiada isu untuk hentikan JKMPay

Pada 15 Mac Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Yusoff berkata tiada isu untuk menghentikan projek itu jika ia tidak memberi manfaat kepada penerima.

Beliau berkata memandangkan projek yang melibatkan penerima baharu itu masih peringkat perintis, kementerian akan menunggu hasil kajian pada April sebelum memutuskan sama ada untuk meneruskan atau tidak.

Zailah berkata inisiatif itu bukan bertujuan menyekat hak golongan OKU untuk berbelanja sebaliknya meluaskan kaedah perbelanjaan golongan itu menggunakan sistem tanpa tunai.

Beliau berkata 397 kedai diluluskan untuk terlibat dalam projek perintis itu dan sehingga Februari 250 cawangan memohon dan berminat untuk mendaftar.

Siva berkata OKU mendapat elaun RM450 sebulan manakala mereka yang terlantar mendapat RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata pada masa ini kira-kira 1,800 OKU berada di bawah program itu dan mereka mendapati ada yang pergi memperbaharui langganan tahunan mereka untuk bantuan turut ditempatkan dalam skim ini.

“Kami sudah menghantar memorandum kepada menteri (Rina) dan meminta untuk mengadakan pertemuan. Kami masih belum mendengar apa-apa daripada kementeriannya atau sebarang semakan terhadap JKMPay,” katanya.

Siva menambah sekiranya gagal mendapat maklum balas daripada kementerian maka mereka akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bulan depan.

Beliau berkata adalah penting bahawa mesti ada perundingan dengan komuniti OKU sebelum sebarang dasar atau peraturan baharu diperkenalkan.

“Perundingan harus dilakukan dengan OKU bagi memahami keadaan mereka secara terperinci dan kemas kini mengenai tindakan yang perlu diambil,” katanya.

JKM mesti tangani isu yang dihadapi OKU

Siva juga menggesa Putrajaya memberi kenaikan RM200 kepada OKU.

“Harga makanan dan barangan lain meningkat naik. Kami tidak cukup untuk keperluan harian bagi membeli makanan, membayar bil elektrik, ubat-ubatan, telefon dan lain-lain.

“Kami berharap kerajaan akan menaikkan elaun kami,” katanya.

Beliau juga berkata pegawai JKM perlu meneruskan pemeriksaan di rumah OKU.

“Kami mendapat tahu pegawai JKM berhenti memeriksa rumah mereka apabila wabak bermula dan ini mengakibatkan OKU serta pesakit terlantar tidak mendapat bantuan seperti makanan dan minuman.

“Pegawai JKM harus menyiasat keadaan itu dan menentukan mengapa mereka gagal memperbaharui borang elaun tahunan dan bukannya menolak elaun apabila gagal memperbaharui borang.

“Mereka juga harus memastikan keadaan hidup mereka memuaskan dan bantuan sewajarnya boleh diberikan kepada mereka,” katanya.

Siva menambah mereka perlu diberi pilihan bagi mengisi borang bantuan secara dalam talian dan talian hotline perlu disediakan untuk OKU yang memerlukan bantuan daripada JKM. – 3 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen