Wanita jauh ketinggalan dalam politik negara, kata Rina


Rina Mohd Harun komited untuk terus meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai isu ketidaksamaan dihadapi wanita Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2022.

PEMBABITAN wanita Malaysia dalam penguasaan politik negara terutama bagi jawatan menteri dan ahli Parlimen masih jauh ketinggalan berbanding lelaki, kata Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, menurut indeks jurang gender Malaysia (MGGI) 2020, skor wanita dalam sub-indeks penguasaan politik adalah yang terendah berbanding sub-indeks yang lain iaitu hanya 0.1.

“Begitu juga dengan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh (KPTB) iaitu hanya pada 55.3%, kurang daripada standard 60% untuk kategori negara membangun,” katanya dalam wawancara sempena sambutan Hari Wanita 2022 baru-baru ini.

Menyentuh mengenai penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan pula, Rina berkata, hanya 17.2% ahli lembaga pengarah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dalam sektor swasta disandang oleh wanita.

“Isu ini perlu diberi perhatian. Kajian sudah membuktikan penyertaan wanita dalam pembuat keputusan menyumbang kepada tadbir urus organisasi yang lebih baik kerana mereka mampu menyuntik kepelbagaian untuk memastikan keperluan wanita di lapangan diambil kira.

“Di sektor awam pula walaupun sudah melebihi sasaran 30%, ia tidak harus berhenti di situ sahaja,” katanya.

Justeru beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk terus meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai isu ketidaksamaan dihadapi wanita Malaysia menerusi sambutan Hari Wanita 2022 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bertemakan ‘Saksama Bersama’, Rina berkata, sambutan yang berlangsung serentak di peringkat antarabangsa bermula hari ini hingga Selasa (8 Mac) itu disesuaikan dengan konteks semasa negara yang masih berdepan halangan yang perlu ditangani dalam usaha mengangkat wanita ke peringkat lebih tinggi.

“Sambutan ini akan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada wanita, selain menjadi pusat setempat untuk kementerian dan agensi, badan korporat serta NGO menawarkan perkhidmatan khusus untuk wanita. Ia juga memberi peluang untuk pengunjung menyertai aktiviti kesukarelawanan untuk kesaksamaan bersama,” katanya.

Sambutan Hari Wanita 2022 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa dan pelbagai acara menarik disediakan seperti pameran oleh agensi kerajaan, korporat dan badan bukan kerajaan (NGO), jualan dan pameran produk oleh usahawan wanita.

Menerusi sambutan itu, KPWKM juga akan mengiktiraf ikon wanita bagi Anugerah Wanita Ikon 2022 dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan, kepimpinan, keselamatan, perundangan dan Anugerah Khas Tun Fatimah. – Bernama, 6 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen