Mana menteri dan wakil rakyat, tanya penduduk Kampung Baru


Elill Easwaran Diyana Ibrahim

Mohd Yusop Suli, 72, (dua kiri) yang duduk di Kampung Baru sejak lima dekad lalu berkata usianya sudah lanjut dan dia mahu sisa hidupnya dihabiskan di situ. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Disember, 2021.

PENDUDUK Kampung Baru di tengah Kuala Lumpur mendesak Ahli Parlimen Titiwangsa Rina Harun dan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim membantu mereka untuk mendapatkan pampasan lebih baik atas tanah mereka yang hendak diambil bagi tujuan pembangunan.

Selepas bertahun-tahun tawar menawar dengan pihak berkuasa, mereka mahu Rina dan Shahidan turun padang bertatap muka dengan penduduk terlibat dan menjelaskan apa yang berlaku.

Setiausaha Lembaga Pentadbir Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru Shamsuri Suradi yang jadi orang tengah antara penduduk dan pihak berkuasa berkata dua menteri itu mesti turun tangan dalam isu ini.

Kalau tidak, mereka akan hilang sokongan lebih 200 penduduk, katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Shamsuri, pada masa ini 98 unit rumah teres dan flat terlibat dengan 27 daripadanya bersetuju dengan pampasan sementara 37 unit belum membuat keputusan dan bakinya belum lagi dapat surat tawaran.

Majoriti penduduk tidak puas hati dengan tawaran RM400 sekaki persegi yang ditawarkan dengan pengambilan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Waktu hendak bina laluan MRT (transit aliran massa), tawarannya RM1,300 sekaki persegi tetapi sekarang hanya RM400,” kata Shamsuri.

“Penduduk pun tidak pasti apa yang hendak dibangunkan nanti.”

“Itu sebabnya kita minta Rina dan Shahidan jumpa dengan pemaju, dapatkan hitam putih apa projek yang hendak dibuat,” tambahnya.

Penduduk terlibat minggu lalu diberi notis untuk mengosongkan premis, menyebabkan sebahagian mereka membuat bantahan di jalan raya.

Gegantung yang digantung oleh penduduk Kampung Sungai Baru yang membantah rancangan memindahkan mereka sebagai sebahagian daripada projek pembangunan semula kawasan Kampung Baru. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Disember, 2021.

Pampasan mesti adil

Beberapa penduduk memberitahu The Malaysian Insight, sekiranya mereka diusir, pampasan yang ditawarkan mestilah memadai.

Pesara Ahmad Ibrahim, 59, berkata RM400 sekaki persegi sangat mencekik darah.

“Perdana menteri bercakap pasal Keluarga Malaysia. Inikah keluarga Malaysia?” tanyanya.

Ahmad berkata penduduk yang sudah menetap di situ sejak bertahun-tahun tidak wajar dihalau hanya untuk membangunkan projek perumahan untuk orang kaya.

Mohd Yusop Suli, 72, yang duduk di Kampung Baru sejak lima dekad lalu berkata usianya sudah lanjut dan dia mahu sisa hidupnya dihabiskan di situ.

Beliau mengaku terkejut dengan notis mengosongkan rumah selepas harta peninggalan ibunya dijual oleh saudara kandungnya kepada pemaju tanpa pengetahuannya.

“Saya dan isteri tidak peduli pun untuk tinggalkan tempat ini kalau mereka datang dan halau,” katanya.

Yusop juga bertanya ke mana pergi menteri dan ahli parlimen yang sebelum ini datang ke tempat mereka semasa kempen pilihan raya.

“Masa berkempen mereka dulu janji kami akan selamat tetapi sekarang batang hidung pun tak nampak,” katanya.

Ahmad Bin Ibrahim, 59, berkata penduduk yang sudah menetap di situ sejak bertahun-tahun tidak wajar dihalau hanya untuk membangunkan projek perumahan untuk orang kaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Disember, 2021.

Zaleha Yusof, 63, pula berkata kebanyakan penduduk yang enggan berpindah adalah warga emas.

Kediaman di Kampung Baru itu pula adalah satu-satunya rumah mereka, katanya.

Jelas Zaleha, mereka yang menerima tawaran pampasan kebanyakannya ada rumah lain tetapi tidak semua orang bernasib baik begitu.

“Kalau saya perlu kosongkan rumah pun, pampasan RM200,000 itu tidak cukup.

“Saya dengar untuk pembangunan baharu nanti setiap unit harganya RM900,000, jadi mereka sepatutnya bayar kami RM500,000.

“Rumah kami di tengah bandar, tak masuk akal bayar kami RM200,000,” katanya yang tinggal bersama tiga beradiknya.

Zaleha juga berkata mustahil untuknya mencari rumah baharu dalam bandar dengan harga RM200,000.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengumumkan tawaran RM1,000 bagi setiap kaki persegi dan berjaya mendapatkan persetujuan sehingga 63 peratus penduduk.

Pembangkang termasuk Ismail Sabri yang pada masa itu ketua pembangkang di Dewan Rakyat berkata kerajaan tidak sepatutnya menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk memajukan Kampung Baru. – 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen