Tindakan JKM pertahan Rina Harun memalukan, kata warganet, ahli Parlimen


Ravin Palanisamy

Hari ini warganet dan ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh membidas kenyataan dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mempertahankan menteri Rina Harun, berkata jabatan itu tidak perlu pertahan gelagat menteri berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2021.

TINDAKAN Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempertahankan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berhubung video aksi pembersihan banjir telah mengecewakan ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dalam kerajaan Pakatan Harapan itu berkata penjelasan JKM yang menjelaskan beliau hanya membersihkan najis burung, telah merendahkan lagi peranan jabatan itu.

“Saya sedih melihat JKM begitu mempertahankan gelagat menteri.

“Saya kenal ramai pegawai JKM yang amat berdedikasi dalam melaksanakan tugas mereka. Ramai bertungkus lumus jaga PPS (pusat pemindahan sementara) dengan baik. 

“Tapi gelagat menteri merendahkan martabat pegawai JKM. Tak adil bagi mereka,” kata Hannah melalui ciapan di Twitter.

Semalam, Rina dikritik hebat berikutan video tular beliau menggunakan hos tekanan berkuasa tinggi untuk pasukan media di PPS.

Bagaimanapun, Rina membalas kritikan dengan berkata beliau berada di Sekolah Kebangsaan Salak di Salak Tinggi bagi membantu kerja-kerja pembersihan.

Sekolah itu dijadikan PPS mangsa banjir, dan Rina berkata beliau dan pasukannya membersihkan sekolah tersebut sebelum penggal persekolahan pada minggu kedua Januari.

Semalam gelagat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun yang mencuci lantai bersih di sebuah PPS tular sekali gus mengundang kecaman dan kritikan warganet dari pelbagai lapisan. – Gambar Facebook Rina Harun, 27 Disember, 2021.

JKM yang mempertahankan Rina mengeluarkan kenyataan mendakwa menteri itu bukan sahaja terlibat dalam pembersihan lantai di PPS itu malah beliau turut mengotorkan tangannya ketika membersihkan dan mengatur logistik lain di sekolah itu.

“JKM selaku jabatan yang menguruskan operasi ini telah memohon kesudian Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan oleh pihak sekolah sukar dicucikan sebelum ini.

“Memandangkan peralatan waterjet sedia ada di lokasi pembersihan, Rina tidak menolak pelawaan JKM, dan beliau melakukan kerja tersebut dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka,” kata kenyataan itu.

Menjawab kenyataan JKM yang dikongsikan di media sosial, beberapa pengguna meluahkan rasa terkilan mereka terhadap jabatan itu kerana menyokong menteri berkenaan.

Pengguna @SimpletonED berkata jabatan itu tidak seharusnya menggunakan platform rasmi mereka sebagai alat propaganda untuk menteri.

“Jabatan Kebajikan dibiayai cukai rakyat, dan sepatutnya berkhidmat untuk RAKYAT. Bahkan gaji menteri juga. Jangan gunakan portal kementerian sebagai PROPAGANDA menteri. Rakyat menilai sendiri, kalau kementerian kerja atau tidak. Memalukan,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna @amarfrd berkata tiada keperluan untuk jabatan itu mengeluarkan kenyataan membela menteri jika mereka buat silap.

“Kalau menteri tu ada buat silap atas kapasiti diri sendiri, biarkan je. Tak perlu keluarkan kenyataan nak pertahan menteri. 

“Tak perlu nak palitkan kebodohan menteri dengan kakitangan kementerian/jabatan. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya. – 27 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen