Iktibar kisah Winston Churchill buat kita


JIKA kita masih ingat, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berlaku layanan antara dua darjat berkaitan isu kompaun pelitup muka kepada pesalah. Hal seperti ini berterusan dengan banyak lagi kes yang lebih besar melibatkan isu layanan dua darjat dalam sistem hukum, perundangan dan keadilan kita.

Ini satu gambaran apabila politik telah korup, rakyat hilang kepercayaan maka prinsip dan hukum tak lagi dapat ditegakkan.

Naratif ini akan membawa kita menuju kepada kegagalan sebuah negara. Natijahnya bangsa ini akan miskin muflis hingga membawa pelbagai lagi krisis seperti krisis bekalan makanan dan banyak lagi.

Bunyinya mungkin agak keterlaluan bagi Malaysia, tapi tak mustahil kerana sejarah pernah bercakap.

Ketika Perang Dunia Kedua, pada Mei 1940 Winston Churchill dilantik sebagai Perdana Menteri Britain menggantikan Neville Chamberlain. Hanya seminggu selepas dilantik menjadi PM Britain, Churchill mendapat perkhabaran bahawa tentera British telah tewas hanya dalam tempoh 5 hari berperang di bumi Perancis.

Hampir 150,000 tentera British sedang terkepung di Perancis. Begitu brutal sekali operasi tentera Nazi yang dikepalai oleh Jeneral Heinz Wilhelm Guderian. Dari rekod sejarah yang didedahkan dalam buku “Der Totale Rausch” (The Total Rush) – yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris bertajuk “Blitzed” – mencatatkan bahawa askar Wehrmacht (angkatan tentera Jerman) menggunakan dadah jenis methamphetamine.

Ia satu bentuk pil dadah Pervitin yang telah diedarkan kepada berjuta-juta tentera Wehrmacht sebelum dan ketika pencerobohan Perancis pada tahun 1940. Dadah ini berfungsi untuk menjana tenaga yang membolehkan tentera Nazi beroperasi 24 jam tanpa henti dan tanpa tidur.

Walaupun Churchill dari parti Konservatif, namun beliau bukan dari jalur ‘istana’. Maka beliau tidak mendapat dukungan kuat oleh istana, elit politik dan kabinet perangnya. Dalam situasi yang hampir tiada harapan itu, beliau bertindak nekad dengan kembali kepada rakyat. Langkah ini sebagai upaya terakhir untuk memulihkan kembali harapan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan untuk mempertahankan negaranya.

Dalam pidatonya di parlimen, Churchill menyatakan dengan jelas matlamatnya kepada rakyat iaitu hanya satu: kemenangan untuk British dengan apa jua cara. Beliau menegaskan bahawa tidak akan ada istilah untuk berpatah balik dalam kempen perang ini.

Pidato Churchill dianggap hanya retorik orang nyanyuk dalam kalangan elit politik yang membenci beliau. Mereka terkejut apabila ucapan Churchill itu disambut oleh rakyat British hingga mendorong satu kebangkitan massa menentang penaklukan Hitler di seluruh Eropah. Pidato yang dianggap retorik telah menukar persepsi ‘mustahil’ kepada ‘kita boleh’.

Kebangkitan itu dibuktikan dengan satu tindakan berani apabila ribuan rakyat di kalangan orang awam telah bergabung tenaga berlayar menggunakan bot sendiri merentasi Selat Inggeris menuju ke Dunkirk untuk menyelamatkan baki puluhan ribu tentera British yang terkandas dan terkepung ketika itu. Peristiwa ini dirakam dalam beberapa buah filem.

Apa yang berlaku di Malaysia

Rakyat British ketika itu terkepung oleh tentera fasis Nazi. Kita juga terkepung, tetapi bukan dengan tentera bersenjata sebaliknya terkepung dengan kumpulan pencuri dan perasuah yang bertanjak, yang sedang lahap menjarah harta rakyat, siang dan malam.

Kelicikan aktiviti rasuah mereka telah menjadikan rakyat lemah dan bersikap pasif. Perasaan dikhianati menjadikan rakyat hilang semangat untuk memulihkan negara ini. Lihat sahaja peratusan keluar mengundi dalam beberapa PRN lalu.

Ada yang lebih menarik lagi dari kisah Churchill ini. Kumpulan elit politik yang menentang cara Churchill mengurus peperangan ini diketuai oleh Lord Halifax, orang penting dalam ‘House of Lord’.

Lord Halifax ini peminat King George, dengan kata lain Lord Halifax ini kaki bodek raja. Halifax sebagai salah seorang ahli dalam kabinet perang, telah mendesak Churchill agar berunding dan beliau juga mencadangkan agar memberikan beberapa tanah British kepada Hitler dengan harapan Hitler akan berlembut dan perdamaian dapat dicapai.

Namun Churchill berasakan idea Lord Halifax ini bodoh kerana mempercayai Hitler, seorang diktator yang tamak dan gila kuasa. Cadangan Halifax ini juga dianggap hanya mahu menyelamatkan dan membodek raja, bukan rakyat dan negaranya.

Malah, cadangan Halifax ini juga dianggap satu pengkhianatan kerana sanggup mempertaruhkan tanah dan kedaulatan negara kerana takut dengan kekalahan.

Begitu juga di sini, ada dalam kalangan pemimpin kita sanggup berpakat senyap-senyap dengan gerombolan pengkhianat dan pencuri yang bertanjak hanya kerana mahu kuasa politik dan ego diri hingga sanggup membiarkan rakyat diperintah oleh regim perasuah dan pencuri yang bertanjak.

Masihkah ada harapan?

Jika tentera Wehrmacht menggunakan dadah jenis methamphetamine untuk kuat dan bertenaga dalam perang, pencuri dan perasuah yang bertanjak ini pula menggunakan wang sebagai tenaga dan kekuatan untuk membeli jiwa kita agar mendapat sokongan untuk terus memerintah dan menjarah negara ini.

Namun, wang tidak akan dapat membeli segala-galanya, masih ada orang yang beriman dan bermaruah. Orang-orang yang beriman dan bermaruah ini adalah orang yang bertanjak dan bersampin. Mereka ini hanya perlu diyakinkan bahawa politik masih berfungsi untuk mempertahankan maruah bangsa ini.

Churchill telah memberikan iktibar kepada kita bahawa jalan keluar dan harapan sentiasa ada selagi kita terus berusaha tanpa henti.

Churchill yang dibenci oleh elit politik dan istana, telah menyelamatkan institusi monarki dan rakyatnya daripada dijajah oleh kerajaan fasis Hitler, bukan Lord Halifax si pembodek raja.

Sejarah ini sebagai satu iktibar bagaimana daripada tiada harapan dan dengan segala kerosakan politik, kita yang bertanjak dan bersampin, boleh mengembalikan semula kewibawaan politik agar tidak disalahgunakan oleh pencuri dan perasuah yang mengotori tanjak dan sampin kita.

* Mahdzir Ibrahim, Ahli Parti Pejuang Tanah Air

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen