China buat latihan tentera di Laut China Selatan


Pihak berkuasa maritim China mengesahkan Beijing akan menjalankan latihan ketenteraan di Laut China Selatan pada Sabtu, hanya seminggu selepas Barat menuduh republik komunis itu mahu menakluki rantau Pasifik. – Gambar EPA, 27 Mei, 2022.

CHINA akan mengadakan latihan tentera di Laut China Selatan pada Sabtu, kata pihak berkuasa maritimnya, hanya seminggu selepas Barat menuduh Beijing mahu menakluki seluruh rantau Pasifik.

Latihan itu dijadualkan berlangsung kurang daripada 25 kilometer dari pantai wilayah Hainan di selatan China.

Ia dibuat ketika Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai kehadiran ketenteraan dan ekonomi China yang semakin meningkat di kawasan yang merangkumi Laut China Selatan hingga ke Kepulauan Pasifik.

“Latihan ketenteraan akan diadakan dan tidak dibenarkan masuk,” kata pentadbiran Keselamatan Maritim dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ia turut memberi amaran kawasan seluas kira-kira 100 kilometer persegi itu akan ditutup kepada lalu lintas maritim selama lima jam.

China secara rutin menjalankan latihan serupa di perairan berhampiran pantainya, dengan latihan di kawasan laut berhampiran Hainan dijadualkan minggu depan, serta beberapa latihan lain di sepanjang pantai timur negara itu.

Bagaimanapun latihan terbaharu ini muncul ketika Beijing menghadapi amaran yang semakin meningkat daripada AS dan sekutu Barat mengenai cita-cita tentera lautnya, yang disebut pengkritik sebagai titik mula untuk mengubah keseimbangan kuasa serantau.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken pada Khamis menuduh Beijing meningkatkan ketegangan berhubung Taiwan, yang didakwa China sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

“Beijing telah terlibat dalam retorik dan aktiviti yang semakin provokatif seperti menerbangkan pesawat PLA (Tentera Pembebasan Rakyat) berhampiran Taiwan pada hampir setiap hari,” kata Blinken.

Beliau juga menggesa usaha untuk mengimbangi “niat China untuk membentuk semula susunan antarabangsa.”

Komen Blinken berikutan pertengkaran lisan antara Beijing dan Washington berhubung janji Presiden Joe Biden untuk mempertahankan Taiwan jika diserang oleh China, dibuat semasa lawatan presiden ke wilayah itu awal minggu ini.

China membalas dengan berikrar untuk mempertahankan kepentingan nasionalnya ke atas Taiwan, memberi amaran kepada Washington supaya tidak “meremehkan” ketetapan dan keupayaan Beijing dalam isu itu.

Sementara itu, beberapa kerajaan termasuk Australia dan New Zealand telah membunyikan penggera minggu ini mengenai dokumen bocor yang kelihatan menunjukkan rancangan untuk membina kerjasama keselamatan yang luas antara China dan Kepulauan Pasifik.

Tetapi China berkata kerjasamanya dengan negara-negara Kepulauan Pasifik “tidak menyasarkan mana-mana negara”, menolak dakwaan ia menekan negara-negara kecil ke dalam perjanjian keselamatan. – AFP, 27 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen