BEIJING pada Isnin berkata ia bersedia untuk mempertahankan kepentingan ke atas Taiwan, sebagai respons kepada janji Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang mahu melindungi pulau itu daripada China.
Parti Komunis China tidak pernah mengawal Taiwan yang diperintah sendiri tetapi ia menganggap pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya malah berjanji merampasnya suatu hari nanti, secara paksa jika diperlukan.
Biden, yang berada di Tokyo bagi bertemu perdana menteri Jepun, pada Isnin memberi amaran sikap China yang semakin tegas terhadap pulau itu “mengundang bahaya” malah berjanji untuk mempertahankan Taiwan daripada sebarang tindakan ketenteraan oleh Beijing.
Komen itu disambut dengan bantahan di Beijing, dengan jurucakap kementerian luar negeri Wang Wenbin memberitahu wartawan “Taiwan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari wilayah China”.
“Isu Taiwan adalah urusan dalaman China sahaja,” katanya.
“Mengenai isu yang menyentuh kepentingan teras kedaulatan dan integriti wilayah China, China tidak akan kompromi.”
Biden mengaitkan konflik Rusia-Ukraine dengan isu China-Taiwan.
Tetapi Wang berkata China akan sentiasa mempertahankan kepentingannya dengan kekuatan 1.4 bilion rakyat.
“Tiada sesiapa pun harus memandang rendah keazaman teguh dan keupayaan kuat rakyat China dalam mempertahankan kedaulatan negara dan integriti wilayah,” tambahnya. – AFP, 23 Mei, 2022.
Komen