PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berjanji pada Isnin tentera AS akan mempertahankan Taiwan jika China cuba menguasai pulau yang diperintah sendiri melalui kekerasan, memberi amaran Beijing sudah “mengundang bahaya”.
Ia kenyataan paling lantang oleh Biden setakat ini mengenai isu tersebut, yang muncul dengan peningkatan ketegangan di rantau itu berhubung kuasa ekonomi dan ketenteraan China yang semakin meningkat.
Kenyataan beliau dibuat ketika menghadiri sidang kemuncak bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Tokyo, pada Selasa.
Washington dan sekutu seperti Jepun telah merangka tindak balas keras terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sebagai amaran kepada pihak lain, khususnya China, tentang akibat tindakan ketenteraan unilateral.
Biden membalas mesej itu selepas berbincang dengan Fumio, di mana mereka bersetuju untuk memantau aktiviti tentera laut China dan latihan bersama China-Rusia.
Ditanya sama ada Washington bersedia terlibat secara ketenteraan untuk mempertahankan Taiwan, Biden menjawab ringkas: “Ya.”
“Itu komitmen kami,” tambahnya.
“Kami bersetuju dengan dasar Satu China, kami menandatanganinya… tetapi idea yang ia boleh diambil secara paksa adalah tidak wajar,” kata Biden. .
Beliau memberi amaran Beijing sudah “mengundang bahaya ketika ini apabila membuat ancaman penerbangan secara dekat”, merujuk kepada peningkatan jumlah pencerobohan China, latihan tentera laut dan pembinaan di rantau itu, dilihat sebagai unjuran kuasanya yang semakin meningkat. – AFP, 23 Mei, 2022.
Komen