Subsidi ayam untungkan syarikat besar, kata penternak kecil


Diyana Ibrahim

Golongan penternak kecil mendakwa subsidi tidak membantu terutama kepada peserta penternakan kontrak atau sistem integrasi ladang kontrak yang berkongsi subsidi dengan syarikat pembeli ayam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Mei, 2022.

SUBSIDI jualan ayam yang diberikan kerajaan sebanyak 60 sen sekilogram hanya menguntungkan syarikat besar, dakwa golongan penternak kecil.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, subsidi itu tidak begitu membantu terutama kepada peserta penternakan kontrak atau sistem integrasi ladang kontrak yang berkongsi subsidi dengan syarikat pembeli ayam.

Mereka menafikan dakwaan bahawa ramai penternak enggan mengambil subsidi dan menjelaskan perkara itu berlaku kerana syarat yang menyusahkan dan sering berubah-ubah.

Seorang penternak yang hanya mahu dikenali sebagai Cikgu Mashitah, 42, enggan berkongsi subsidi dengan syarikat integrator yang lebih stabil dari sudut kewangan.

Beliau menyifatkan perkongsian itu tidak adil biarpun kos dedak dan ubat-ubatan ayam disediakan syarikat integrator kepada penternak secara kredit.

“Memang ramai penternak yang mempersoalkan sebab bagi kita nampak macam tak adil. Kenapa perlu bagi sebahagian peruntukan subsidi kami kepada syarikat besar.

“Kebanyakan mereka berstatus syarikat senaraian awam di mana kewangan lebih stabil dan keuntungan diraih lebih besar.

“Tambahan pula kos yang mereka keluarkan beri kepada kita seperti bentuk pinjaman, atau hutang di mana mereka akan potong kembali menerusi hasil jualan ayam kepada mereka,” katanya.

Dengan cara itu, penternak mempunyai kontrak untuk menjual hasil ternakan mereka kepada syarikat besar atau dipanggil integrator.

Menerusi kaedah penternakan kontrak input seperti perolehan anak atau baka ayam, makanan, dedak, vaksin dan doktor veterinar akan disediakan secara kredit oleh integrator tersebut.

Penternak pula hanya perlu mengeluarkan kos bagi operasi ladang dan kos pekerja.

Mashitah menjelaskan, beliau sebelum ini seorang penternak persendirian namun terpaksa mengubah status operasinya kepada sistem integrasi ladang kontrak sejak dua tahun lepas kerana tidak mampu menanggung kos kenaikan harga dedak.

Penternak kecil enggan berkongsi subsidi dengan syarikat integrator yang lebih stabil dari sudut kewangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Mei, 2022.

Mashitah turut menjelaskan ramai penternak yang memohon subsidi namun ditolak atas alasan tidak menepati syarat kelayakan dan dokumentasi yang diperlukan.

“Mereka beri syarat yang sangat ketat kepada kami seperti perlu beri pengeluaran invois ayam, dedak, tapi kebanyakan penternak kecil ini adalah orang tua, sudah tentu mereka tidak cakna dengan peraturan itu.

“Seperti contoh yang kita baru tahu syarat buka akaun Agro Bank sedangkan masa awal syarat itu tidak ada pula,” katanya.

Tambahnya kerajaan berjanji memberikan subsidi namun sampai sekarang tiada sebarang bayaran yang diterima setakat ini.

Kerajaan memberi subsidi harga ayam sebanyak 60 sen sekilogram dan telur ayam sebanyak 5 sen sekilogram kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Subsidi itu berjumlah RM729.43 juta yang diumumkan kerajaan sejak Februari.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan pada Isnin berkata, hanya RM50 juta subsidi sudah dibayar kepada penternak, yang kebanyakannya syarikat kecil.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dalam kenyataan berasingan memberi jaminan akan menyegerakan pembayaran subsidi kepada penternak namun tidak menyatakan tarikh pelaksanaannya.

Seorang lagi penternak ayam, Rizalman Ismail turut kecewa dengan alasan syarikat integrator untuk berkongsi subsidi kerana mereka mengeluarkan kos dedak.

Rizalman berkata dasar itu menyebabkan keuntungan penternak yang menyertai sistem integrasi ladang kontrak semakin kecil.

“Sekarang ini memang kita terbeban juga terutama apabila harga dedak naik. Harga dedak ini naik terlalu cepat bayangkan dalam sebulan dua kali naik.

“Sekarang ini harga dedak dalam RM140 ke RM144 (sekilogram). Kemudian syarikat dalam kontrak, mereka membeli ayam dengan harga RM5.90 disebabkan harga dedak naik jadi kos meningkat.

“Tapi harga beli balik tak meningkat jadi kalau ikut marginnya memang kita rugi,” katanya.

Kerajaan berjanji memberikan subsidi namun sampai sekarang tiada sebarang bayaran yang diterima, kata penternak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2022.

Beliau berkata, kebanyakan penternak kecil sepertinya tidak mempunyai pilihan selain terus dengan kaedah itu demi kelangsungan perniagaan.

“Kami bertukar ke kaedah ini juga kerana memikirkan pasaran yang lebih selamat. Maksudnya kami tidak perlu pening untuk cari pembekal ayam kerana ada syarikat yang akan ambil ayam kami.

“Sistem ini memang ada baik dan buruklah seperti dulu bila harga ayam jatuh masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sehingga RM3 atau RM4 ketika itu kami tidak terkesan sebab harga dibeli syarikat RM5.90,” katanya.

Penternak Mohd Hamizan Zakaria, 26, juga mengakui krisis bekalan ayam berlaku kerana peningkatan kos makanan dedak yang menyebabkan mereka mengehadkan ternakan.

Ujarnya, kenaikan harga makanan ayam itu sangat membebankan sehingga ramai penternak yang terpaksa menghentikan operasi mereka.

“Bila harga dedak naik macam saya terpaksa keluarkan dalam RM180,000 membeli dedak bagi 20,000 ayam saya. Itu belum lagi dengan kos lain (termasuk) ubat, kos pekerja, suntikan vaksin.

“Sebabkan itu ramai penternak yang terpaksa tutup sahaja ladang mereka. Dan ramai juga beralih kepada sistem kontrak macam saya walaupun ia tidak menguntungkan sangat,” katanya.

Pemuda itu berkata subsidi yang diumumkan kerajaan juga tidak membantu tambahan pula mereka terpaksa berkongsi dengan syarikat besar.

“Bagi saya subsidi itu tak membantu. Patutnya kita dapat 60 sen tapi bila berkongsi dengan syarikat mereka dapat 30 sen kami dapat 30 sen.

“Tapi masalahnya subsidi pun kami masih tak terima, bagi saya isu ini akan berlarutan selagi tidak ada tindakan yang tepat dari kerajaan terutama mengambil sudut dari pihak penternak,” katanya. – 26 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen