HFMD: Ibu bapa jangan bimbang hantar anak ke sekolah


Exco Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, JPN dan JKN akan terus bekerjasama memastikan anak-anak selamat serta terhindar daripada penyakit HFMD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

IBU bapa dinasihatkan supaya tidak berasa khuatir untuk menghantar anak mereka ke sekolah berikutan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) kerana penularan penyakit itu di Perak dilaporkan terkawal.

Pengerusi jawatankuasa pendidikan, pengajian tinggi dan sumber manusia negeri Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata Jabatan Pendidikan negeri (JPN) dan Jabatan Kesihatan negeri (JKN) akan terus bekerjasama dalam memastikan anak-anak sentiasa selamat serta terhindar daripada penyakit itu.

“Dalam mesyuarat exco bersama Menteri Besar, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan soal kesihatan anak-anak sewaktu berada di dalam dan luar sekolah. Kami ambil maklum dengan apa yang terjadi di Melaka berhubung penularan kes HFMD daripada peringkat pendidikan awal kanak-kanak hingga sekolah menengah.

“Laporan penularan penyakit itu di negeri ini terkawal setakat ini, dengan kerajaan negeri bersama JPN dan JKN mengadakan program libat urus dalam usaha memantau dan memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat,” katanya ditemui pada majlis jamuan hari raya Aidilfitri di Jabatan Alam Sekitar Perak, Ipoh, hari ini.

Menurut Ahmad Saidi, pihak sekolah juga dimaklumkan supaya melaporkan segera sekiranya terdapat sebarang gejala berkaitan HFMD.

“Saya sudah mengarahkan guru besar, pengetua dan pengendali di setiap peringkat pendidikan untuk memaklumkan kepada JPN dan JKN sekiranya terdapat kanak-kanak yang mempunyai gejala awal seperti ulser dan keradangan di dalam mulut.

“Lakukan pemeriksaan seawal mungkin bagi mengekang penularan HFMD,” katanya.

Pada Jumaat, 42 tadika di Perak dilaporkan ditutup di bawah Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dengan daerah Kinta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 20 tadika diikuti Perak Tengah (6).

Pengerusi jawatankuasa kesihatan, alam sekitar, sains dan teknologi hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin dalam laman Facebooknya memaklumkan, 2,638 kes HFMD dilaporkan setakat minggu epidemiologi ke-19 yang berakhir pada 14 Mei, berbanding 159 kes bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan kes HFMD kira-kira 16.6 kali ganda. – Bernama, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen