Indeks persepsi rasuah rendah realiti pahit rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara


INDEKS Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini adalah realiti pahit yang perlu diterima dengan hati terbuka, kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki yang juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM) berkata CPI Malaysia terkini adalah di kedudukan ke-62 berbanding ke-57 dunia pada 2020.

“Meskipun ia sekadar persepsi, namun realiti ini adalah isyarat penting kepada kita semua untuk meneruskan tekad membanteras gejala rasuah dengan membudayakan integriti yang tinggi dalam kalangan agensi dan individu sama ada dalam perkhidmatan awam mahu pun swasta,” katanya.

Pada majlis pelancaran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2022 (AIGA 2022) di Putrajaya hari ini, Mohd Zuki berkata pelaksanaan inisiatif AIGA akan menjadi mekanisme penanda aras terbaik bagi organisasi awam mahupun swasta dalam membudayakan integriti, tadbir urus terbaik dan antirasuah.

Pelaksanaan AIGA itu juga adalah selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) supaya Malaysia dikenali kerana integritinya dan bukannya rasuah, katanya.

AIGA adalah antara pendekatan baharu diperkenalkan oleh IIM tahun ini dalam usaha memperkasakan peranannya sebagai peneraju utama pembudayaan dan penerapan nilai integriti dan tadbir urus bagi rakyat Malaysia, katanya.

Mohd Zuki berkata AIGA 2022 adalah anugerah yang julung kali diadakan di peringkat kebangsaan dan AIGA peringkat kebangsaan akan dijadikan acara tahunan Institut Integriti Malaysia (IIM).

AIGA tahun ini adalah lanjutan kepada penganjuran AIGA 2020 peringkat Negeri Pahang yang dibuat pada 26 Okt 2021, anjuran IIM bersama rakan strategiknya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang.

“Penyertaan AIGA terbuka kepada semua agensi awam dan swasta tanpa mengira saiz organisasi manakala kriteria penilaian memfokuskan keupayaan dan ketersediaan organisasi dalam proses dalaman,” katanya.

Proses penilaian kriteria AIGA 2022 mengguna pakai standard pematuhan piawaian antarabangsa terkini termasuk MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah; MS ISO 9001: 2015 Sistem Pengurusan Kualiti; ISO 37000: 2022 Governance of Organisation; ISO 37002:2022 Whistleblowing Management System dan Enterprise Risk Management.

Penilaian juga dibuat mengikut Garis Panduan Tatacara Mencukupi (Prinsip T.R.U.S.T.) di bawah Subseksyen (5) Seksyen 17A, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Pindaan) 2018 dan Garis Panduan Pengurusan Unit Integriti dan Governans yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

Penganugerahan akan diadakan pada November tahun ini bersempena sambutan Hari Integriti Nasional pada 5 Nov setiap tahun. – Bernama, 16 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen