Turki bantah hasrat Sweden, Finland sertai Nato


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan tidak bersetuju dengan hasrat Finland dan Sweden untuk sertai Nato. – Gambar EPA, 17 Mei, 2022.

PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan pada Isnin mengesahkan Turki menentang keahlian Nato bagi Finland dan Sweden, sekali lagi menuduh mereka gagal mengambil pendirian yang jelas berhubung keganasan.

“Kami tidak akan berkata ‘ya’ kepada mereka (negara) yang mengenakan sekatan kepada Turki untuk menyertai organisasi keselamatan Nato,” kata Erdogan.

Sweden menggantung sebarang penjualan senjata kepada Turki sejak 2019 berhubung operasi ketenteraan Ankara di negara jiran Syria.

Merujuk kepada hasrat delegasi Sweden dan Finland untuk bertemu pegawai Turki, Erdogan berkata: “Mereka berkata akan datang ke Turki pada Isnin. Adakah mereka akan datang untuk memujuk kami? Maafkan kami, tetapi mereka tidak perlu.”

Kedua-dua negara itu secara rasmi mengumumkan hasrat memohon keahlian Nto selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Tetapi Turki mengancam menyekatnya dengan menuduh mereka melindungi kumpulan pengganas termasuk militan Kurdish yang diharamkan, disenaraihitamkan oleh Ankara, EU dan Amerika Syarikat.

Sebarang tawaran keahlian mesti diluluskan sebulat suara oleh 30 ahli Nato.

“Kedua-dua negara tidak mempunyai pendirian yang jelas terhadap organisasi keganasan,” kata Erdogan.

Sweden dan Finland gagal memberi respons positif terhadap 33 permintaan ekstradisi Turki sejak lima tahun lalu, sumber kementerian kehakiman memberitahu agensi berita rasmi Anadolu pada Isnin.

Agensi itu melaporkan Turki mahukan individu yang sama ada dituduh mempunyai kaitan dengan militan Kurdish atau tergolong dalam gerakan dipertanggungjawabkan bagi cubaan menggulingkan Erdogan pada 2016.

Turki menegur Stockholm kerana menunjukkan apa yang disifatkannya sebagai bersikap lembut terhadap Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang melancarkan pemberontakan berdarah terhadap negara Turki itu sejak 1984.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken menyuarakan keyakinan pada Ahad yang Sweden dan Finland akan menyertai Nato walaupun Turki menyuarakan kebimbangan.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu akan bertemu dengan Blinken di Washington pada Rabu, di mana bantahan Ankara dijangka menjadi agenda utama. – AFP, 17 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen