Ujian air kencing mangsa kopi perisa durian positif dadah


Ketua Polis Pulau Pinang A.Thaiveegan berkata keputusan itu diperoleh minggu lepas namun polis masih menunggu keputusan ujian kimia ke atas kopi tersebut. – Gambar Facebook, 15 Februari, 2018.  

HASIL ujian air kencing dan darah dua lagi mangsa yang minum kopi pracampur segera sehingga mengalami beberapa gejala termasuk letih dan pening yang teruk didapati positif dadah jenis syabu.         

Ketua Polis Pulau Pinang A.Thaiveegan berkata keputusan itu diperoleh minggu lepas namun polis masih menunggu keputusan ujian kimia ke atas kopi yang diminum mereka.        

Setakat ini, ujian air kencing dan empat individu termasuk dua lelaki berkenaan yang terlibat meminum kopi putih pracampur segera dan berperisa durian, positif dadah jenis syabu, katanya kepada pemberita, di George Town hari ini.

Beliau juga berkata polis masih mengenal pasti sama ada kejadian itu melibatkan sindiket dadah.            

“Polis masih  lagi mengesan wanita yang meletakkan kopi berkenaan di medan selera dan yakin dengan penahanannya dapat memberi petunjuk kepada kami,” katanya yang ditemui  selepas merasmikan ‘Computerized Patrolling System’ (Cops Box).  

Pada 4 Februari lepas dua lelaki dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang selepas mengalami pening dan muntah dipercayai selepas meminum sejenis kopi pracampur, menyusuli lima individu termasuk dua wanita yang sebelum itu mendapatkan rawatan di hospital sama selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk selepas dipercayai minum kopi putih pracampur berperisa durian tersebut.         

Mereka yang berusia 19 hingga 62 tahun terbabit ditahan di wad untuk pemerhatian dan menjalani beberapa ujian. – Bernama, 15 Februari, 2018.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen