UNDANG-UNDANG penerbangan semasa yang melindungi hak pengguna tidak menyentuh tentang penerbangan yang dijadualkan semula justeru ia perlu dipinda agar pampasan dapat diberikan dalam situasi sedemikian, kata ahli Parlimen Bandar Kuching.
Dr Kelvin Yii menekankan yang undang-undang sedia ada cuma menyebut tentang kelewatan dan pembatalan penerbangan.
“Kerajaan perlu semak semua undang-undang dan peraturan yang diperlukan bagi memastikan pampasan berkaitan dapat diberikan kepada pengguna.
“Kita mungkin perlu pinda undang-undang yang mengawal ‘penangguhan’ penerbangan supaya ia turut merangkumi istilah seperti ‘dijadual semula’ serta istilah lain berkaitan kewajipan syarikat penerbangan memberikan pampasan kepada penumpang.
“Pada masa ini, mungkin ada kelemahan undang-undang,” kata ketua Pemuda DAP itu dalam satu kenyataan.
Yii memetik klausa 12 dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016, yang menyatakan hanya kelewatan dan pembatalan penerbangan berhak mendapat pampasan.
“Risiko di sini apabila syarikat penerbangan mungkin jadi kreatif dengan terminologi dan menggunakan istilah seperti ‘dimasakan semula’ dan ‘dijadualkan semula’ yang mungkin tidak dilindungi di bawah bidang kuasa undang-undang.
“Selain itu, kita perlu pastikan ‘perlindungan kelewatan lebih daripada 6 jam’ tidak hanya terpakai kepada mereka yang telah membeli insurans sahaja,” tambahnya.
Sejak beberapa hari lepas beliau telah membangkitkan aduan pengguna berhubung perkhidmatan syarikat penerbangan dan kesukaran menuntut pampasan sepanjang tempoh musim perayaan baru-baru ini.
Media sosial telah dipenuhi dengan aduan terutamanya terhadap AirAsia mengenai penerbangan yang dijadualkan semula yang “tidak munasabah”, menyebabkan beberapa penumpang terkandas sehingga 10 jam. Beberapa penerbangan juga ditukar selepas penumpang mendaftar masuk dan beberapa pengembara mengadu mereka terpaksa membeli tiket baharu beberapa kali.
AirAsia telah mengeluarkan permohonan maaf dan menjelaskan ia hanya mempunyai 45 pesawat yang beroperasi, kurang separuh daripada 90 yang ada sebelum pandemik Covid-19.
AirAsia juga berkata bahawa perubahan penerbangan disebabkan oleh kekurangan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di rantau ini, dan beberapa pesawatnya mengalami masalah teknikal secara tiba-tiba selepas tempoh terbiar yang lama ketika pandemik.
AirAsia berkata bagi mengelakkan pembatalan penerbangan disebabkan masalah ini, ia memutuskan untuk menjadualkan semula penerbangannya.
Ini menimbulkan lebih banyak kritikan terhadap syarikat penerbangan itu, termasuk Yii yang semalam berkata AirAsia telah memberi gambaran salah dan tidak sepatutnya menjual tiket apabila tahu yang kekurangan pesawatnya akan menyebabkan kelewatan.
Beliau berkata Putrajaya harus menerima pakai piawaian seperti Peraturan Hak Penumpang Udara Kesatuan Eropah untuk melindungi pengguna dengan lebih baik. Peraturan EU itu meliputi pampasan dan bantuan kepada penumpang sekiranya dinafikan menaiki pesawat dan pembatalan atau kelewatan penerbangan yang lama.
“Peraturan itu menyediakan perlindungan kepada penumpang terhadap gangguan perjalanan, dan juga berfungsi sebagai insentif bagi syarikat penerbangan untuk mengekalkan operasi yang lebih tepat masa,” kata Yii, menggesa pengawal selia penerbangan Malaysia untuk memastikan syarikat penerbangan bertanggungjawab terhadap jadual penerbangan mereka. – 12 Mei, 2022.
Komen