AIRASIA sepatutnya sudah memikirkan terlebih dahulu kesan kekurangan pesawatnya, sebaliknya masih menjual tiket dengan menjadualkan semua penerbangan kemudian, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.
“Jika mereka tahu tidak dapat memenuhi permintaan, mereka sepatutnya tidak membenarkan tiket dijual yang akhirnya menyusahkan, berlaku kelewatan dan juga kerugian ekonomi kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pemuda DAP itu juga menyifatkan ia sebagai satu bentuk “gambaran yang salah” dengan membenarkan pelanggan membeli tiket penerbangan tertentu pada masa tertentu, tetapi akhirnya menjadualkan ia semula pada masa yang berbeza.
Beliau berkata kenyataan AirAsia ia tidak mempunyai pesawat yang mencukupi kerana sedang dibaiki dan penyelenggaraan yang diperlukan selepas terbiar dalam tempoh lama semasa penutupan Covid-19, tidak boleh dimaafkan.
“Walaupun keselamatan pesawat dan penumpang adalah amat penting, syarikat sepatutnya menjangkakan perkara ini dan jika mereka sedar tidak mempunyai pesawat mencukupi, mereka tidak sepatutnya membuka semua tiket itu untuk dijual kepada orang ramai.”
Yii menggesa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) memastikan AirAsia bertanggungjawab dan melindungi hak pengguna, dengan berkata kejadian seperti itu berlaku dengan syarikat penerbangan itu sejak April.
Yii semalam berkata Marcom sepatutnya mempunyai polisi jangka panjang untuk memastikan syarikat penerbangan tidak menjadualkan semula perjalanan secara tidak munasabah.
Ini berikutan bantahan pengguna terhadap tempahan penerbangan yang dijadualkan semula semasa musim perayaan Hari Raya, menyebabkan sesetengahnya terkandas sehingga 10 jam, dan kesukaran untuk menuntut pampasan.
Ia menyebabkan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong semalam menggesa syarikat penerbangan supaya lebih proaktif dalam menangani aduan pelanggan mengenai penerbangan yang dijadualkan semula.
Mavcom malam tadi berkata ia akan menyiasat syarikat penerbangan bermasalah yang membuat “perubahan sewenang-wenangnya” pada jadual penerbangan tanpa notis mencukupi kepada penumpang.
Yii memetik aduan yang diterimanya, mengenai pelanggan yang penerbangannya ditukar hanya beberapa jam selepas membeli tiket secara dalam talian.
“Penerbangan sepatutnya dalam masa dua minggu akan datang dan mereka sudah tahu ia akan ditangguhkan.
“Jika mereka dapat meramalkan masalah itu, mengapa masih juga menjual tiket itu?” – 11 Mei, 2022.
Komen