AIRASIA telah beroperasi dengan kurang daripada separuh jumlah pesawat yang dimilikinya sebelum Covid-19, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu yang dikecam pengguna kerana perubahan dan kelewatan penerbangan yang tidak munasabah, kini hanya mengendalikan 40 pesawat berbanding 95 pesawat sebelum pandemik, kata menteri itu dalam satu kenyataan di Facebook.
“(Ini) penyusutan 57.9 peratus armada sedia ada. Ini disebabkan kekurangan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di rantau ini,” kata Alexander.
Beliau berkata AirAsia telah memberikan semua puncanya kepada kementeriannya.
Sebab-sebab lain yang disebut oleh syarikat penerbangan itu termasuk peningkatan dalam bilangan orang yang melakukan perjalanan ketika musim perayaan dan selepas Malaysia membuka sempadannya, dirumitkan lagi oleh isu kawal selia dan operasi yang melibatkan keperluan untuk ujian RT-PCR, dan masalah di lapangan terbang tertentu.
AirAsia juga menyaksikan “tiga hingga lima” pesawatnya mengalami isu teknikal dalam beberapa minggu lepas, yang bertepatan dengan musim perayaan.
Cuaca buruk juga disebut sebagai punca beberapa kelewatan penerbangan.
Alexander berkata pengguna perlu membuat aduan rasmi, kerana tanpa laporan dibuat, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak boleh mengambil tindakan.
Aduan kian meningkat terhadap AirAsia dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong semalam berkata semua syarikat penerbangan perlu lebih proaktif dalam menangani keluhan pelanggan mengenai perubahan penerbangan.
Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii berkata penumpang telah mengadu kepadanya mengenai jadual penerbangan semula yang menyebabkan mereka terkandas sehingga 10 jam, selain kesukaran ketika menuntut pampasan daripada syarikat penerbangan itu.
Hari ini, Dr Yii berkata AirAsia tidak sepatutnya menjual tiket untuk penerbangan yang diketahui akan ditangguhkan. – 11 Mei, 2022.
Komen