Laporan Pulau Batu Puteh siap menjelang Ogos, kata Apandi


Raevathi Supramaniam

LAPORAN oleh pasukan petugas Pulau Batu Puteh dijangka siap pada Julai atau Ogos, kata ketuanya Apandi Ali.

Pasukan petugas itu ditubuhkan pada Oktober tahun lepas di bawah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi menyemak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menganugerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Usaha Malaysia untuk mendapatkan semakan semula keputusan ICJ menganugerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, dan Middle Rocks kepada Malaysia, telah ditarik balik oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.

Apandi, bekas peguam negara, berkata pasukan petugas telah menyelesaikan laporan interim dan proses setakat ini berjalan lancar, tetapi terdapat beberapa kelewatan.

“Kami akan memuktamadkan laporan itu pada akhir Julai atau Ogos,” kata Apandi kepada The Malaysian Insight.

“Kami dalam proses. Kami telah siapkan laporan interim dan ia berjalan lancar, walaupun ada gangguan birokrasi.”

Apandi berkata kelulusan kabinet dan wabak Covid-19 adalah punca utama kelewatan itu.

“Kami sepatutnya menyiapkan laporan itu pada Mei, tetapi kami beritahu menteri mustahil sebab Covid-19 dan ada perkara lain di luar kawalan kami. Kami telah minta dilanjutkan dan mendapat kelulusan lisan daripada kabinet.

“Sebagai contoh, kita mahu lantik pakar hidrograf luar untuk tentukan laut wilayah kita, tetapi kita perlu dapatkan kelulusan kabinet.

“Ini ambil masa kerana mereka perlu sediakan kertas kabinet terlebih dahulu. Kini, perdana menteri tiada dan kabinet tidak bersidang. Jadi semua ini perlu diambil kira,” katanya merujuk kepada cuti Hari Raya baru-baru ini dan lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke luar negara untuk sidang kemuncak Amerika Syarikat-Asean.

Satu lagi sebab laporan itu lewat siap kerana perintah mahkamah yang memberikan Jabatan Peguam Negara perintah perlindungan untuk menghalang akses awam kepada dokumen dalam saman ke atas kedaulatan pulau itu.

“Itu batu penghalang, kita perlu buang perintah itu dan untuk buat itu, kita perlu failkan permohonan kepada mahkamah,” kata Apandi.

Sebaik sahaja laporan itu dimuktamadkan, ia akan didedahkan kepada umum, tambah Apandi.

Pada 31 Januari, hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan perintah menghalang pendedahan dokumen kepada pihak yang tidak terlibat selepas mendengar hujahan daripada peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan serta peguam Mohaji Selamat.

Kedua peguam itu mewakili Mohd Hatta Sanuri, yang mendakwa dia mewakili 32 juta rakyat Malaysia yang lain.

Ia dibuat atas alasan antaranya dokumen dan maklumat yang akan didedahkan dalam kes saman itu, adalah berstatus dokumen berperingkat dan bertaraf rahsia besar di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pada 28 Mei tahun lepas, Mohd Hatta, 46, memfailkan tindakan saman itu mendakwa beliau terjejas dengan keputusan kerajaan Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri PH ketika itu yang menarik balik permohonan semakan penganugerahan kedaulatan ICJ ke atas Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Mohd Hatta berkata kerajaan tidak memberikan penjelasan untuk menarik balik permohonan semakan, memandangkan bukti baharu yang menyokong usaha baharu Malaysia.

Beliau memohon pengisytiharan mahkamah supaya kerajaan membayar pampasan RM10 juta kepada rakyat Malaysia berhubung pengeluaran itu.

Pada 9 Mei 2003, Malaysia dan Singapura bersetuju menyerahkan pertikaian mereka mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh dan dua pulau maritim berdekatan, Middle Rocks dan South Ledge, kepada ICJ.

Pada 2008, ICJ memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura. Mahkamah memutuskan bahawa Malaysia memiliki Middle Rocks, manakala ia mengelak daripada menganugerahkan South Ledge kepada mana-mana negara, dengan menyatakan ia adalah milik kerajaan yang perairan wilayahnya terletak.

Pada Julai 2017, Malaysia juga memfailkan permohonan berasingan meminta ICJ mentafsir penghakiman 2008 ke atas Pulau Batu Puteh.

Bagaimanapun, sejurus selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum 2018, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menerima keputusan ICJ. – 12 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen