BEKAS hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram enggan mengulas tuduhan yang beliau cuba memujuk Apandi Ali untuk menahan Najib Razak beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-18 pada 2018, lapor portal berita FMT.
Dakwaan itu dibuat Apandi, yang merupakan bekas peguam negara menerusi Facebooknya malam tadi.
Apandi kemudian memberitahu The Malaysian Insight yang beliau membuat pendedahan mengejutkan itu kerana mahu “menjaga Sri Ram yang berkelakuan seolah-olah beliaulah peguam negara.”
Dalam coretan itu, bekas peguam negara itu mendakwa Sri Ram datang ke rumahnya pada Januari 2018 dan memberitahunya bahawa beliau diarahkan Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu pengerusi Pakatan Harapan untuk memujuk Apandi supaya menahan Najib yang ketika itu perdana menteri.
Apandi yang ketika itu peguam negara, bertanyakan Sri Ram sebab yang memungkinkan penahanan Najib dibuat.
Sri Ram didakwa menjawab: “Tuan, rakyat di luar sana kecewa dan tidak gembira, jika awak tahan dia, tak kira apa alasan pun, akan membuatkan rakyat gembira.”
Najib, bagaimanapun, tidak ditahan.
Apandi dalam coretan di Facebook mengenai pertemuannya dengan Sri Ram berkata, ia adalah “bahagian awal satu bab dalam memoir saya”, yang dijangka diterbitkan hujung tahun ini.
Dalam coretan itu, Apandi juga memberi peringatan kepada Sri Ram.
“Gopal Sri Ram boleh menafikan perkara ini tetapi saya mahu memberikan peringatan bahawa semua bukti kejadian ketika saya menjadi AG dan rumah saya dipasang CCTV, (termasuk satu di ruang tamu) dan itu belum mengambil kira pengawal peribadi saya dan anggota polis yang bertugas di balai pengawal di depan rumah saya- CCTV tidak akan bohong dan saya juga ada saksi.”
Sri Ram sekarang adalah ketua pendakwa raya kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Najib.
Beliau juga menerajui pendakwaan dalam kes pindaan laporan audit 1MDB melibatkan Najib dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy, kes rasuah Rosmah Mansor dan kes penggubahan wang haram Muhammad Shafee Abdullah yang merupakan peguam Najib.
The Malaysian Insight sudah menghubungi Sri Ram dan menunggu maklum balasnya. – 11 Jun, 2020.
Komen