TPM gesa usaha tangani hadis palsu diperluaskan


USAHA menangani penularan hadis palsu perlu melangkaui pemantauan terhadap bahan bercetak saja dengan tumpuan harus turut diberikan terhadap “penceramah segera”, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata penerbitan bercetak mudah dipantau kerana ia memerlukan permit dan tertakluk kepada piawaian seperti Nombor Buku Piawai Antarabangsa (ISBN), yang membolehkan ia ditarik daripada pasaran sekiranya wujud elemen yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Berucap pada majlis Wacana Kawal Selia Hadis dan Pelancaran Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadis Siri Kedua di Putrajaya hari ini, Zahid menyentuh mengenai penyebaran hadis palsu dilakukan “penceramah segera” melalui ceramah di medium seperti YouTube.  

“Memang ceramah dia merujuk kepada sumber hukum tetapi tafsirannya berbeza…apatah lagi dia mempunyai pengikut yang ramai dan taksub. Ini boleh mendorong berlakunya amalan yang salah dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Zahid menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri melihat gejala itu secara dekat dan memperluaskan usaha menanganinya dengan segera.

Zahid berkata kedua-dua agensi itu perlu bertindak tegas bagi mengekang penceramah segera daripada terus memesongkan pengikut mereka melalui hadis-hadis palsu yang digunakan semasa berceramah.

Dalam pada itu, Zahid berkata selain pemantauan secara fizikal, Jakim dan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran bersama Lajnah Tahqiq Sahih perlu menggunakan media sosial bagi menyampaikan garis panduan dengan menyarankan penggunaan tanda pagar #hadissahih.

Beliau juga mengingatkan penceramah atau tokoh berkenaan bahawa bahan sumber hukum tidak harus ditafsir dengan tafsiran sendiri yang akhirnya boleh mencetuskan suasana tidak baik dalam kalangan pengikut mereka dan masyarakat umum.

“Apabila hadis palsu diberi tafsiran salah dan dicampur lawak jenaka, daya tarikannya menjadi luar biasa…ia sekali gus merosakkan imej Islam dan memecahkan umat Islam,” katanya.

Zahid berkata soal agama memerlukan penyatuan fikrah semua pihak dan berharap garis panduan yang dilancarkan dapat diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan oleh semua pihak yang berkenaan.

Antaranya ialah Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadis yang disediakan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis atau Lajnah Tahqiq Hadith daripada kalangan tokoh, pakar dan ahli akademik bidang hadis.

Ia mengandungi kaedah dan tatacara membuat rujukan, menyemak, menilai, memetik dan menulis hadis serta sumbernya. – Bernama, 15 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen