Umno talam dua muka benarkan diplomat Israel masuk, kata PAS


Amin Iskandar

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah kesal dengan tindakan Putrajaya membenarkan diplomat Israel masuk ke Malaysia dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi membantahnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2018.

PAS menyelar tindakan Putrajaya membenarkan diplomat Israel masuk ke Malaysia pada persidangan World Urban Forum (WUF) yang berlangsung dari 7 Februari dan berakhir kelmarin. 

Naib Presiden PAS, Mohamad Amar Nik Abdullah berkata parti Islam itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi membantah tindakan Putrajaya itu dalam masa terdekat.

“Inilah sikap talam dua muka Umno,” kata Mohamad Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan itu kepada The Malaysian Insight.

Baru-baru ini The Times of Israel melaporkan Kementerian Luar negara itu mengesahkan kunjungan diplomat terbabit ke Kuala Lumpur.

Jurucakap Kementerian Luar Israel Emmanuel Nahshon berkata diplomat negara itu menghadiri satu persidangan WUF yang berlangsung selama seminggu di Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu, delegasi dari negara berkenaan diketuai Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet dan mereka menyertai persidangan Program Petempatan Manusia PBB, atau dikenali sebagai UN-Habitat.

Malaysia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sejak ditubuhkan pada 1948 dan sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Sebelum ini beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan tindakan Putrajaya membenarkan kemasukan beberapa diplomat Israel pada persidangan WUF.

Hubungan Umno dan PAS semakin baik selepas parti Islam itu tidak menyertai Pakatan Harapan (PH) selepas Pakatan Rakyat (PR) berpecah pada 2015.

Disember lalu, Umno menganjurkan Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Putrajaya yang turut dihadiri pemimpin PAS.

Perhimpunan itu dimulakan dengan forum khas sebelum solat Jumaat melibatkan Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar H. Al Agha. – 15 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen