Kargo udara terkesan perang Rusia-Ukraine, Omicron, kata IATA


Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kombinasi perang di Ukraine dan penularan varian Omicron di Asia telah menyebabkan kenaikan kos tenaga, memburukkan gangguan rantaian bekalan dan membawa tekanan inflasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2022.

PERANG Rusia-Ukraine dan varian Omicron Covid-19 terus menjejaskan kargo udara dengan permintaan global diukur dalam kargo tan kilometer (CTK) turun 5.2 peratus pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama tahun lepas.  

Memetik data Mac 2022 bagi pasaran kargo udara global, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata kapasiti kargo udara berada pada 1.2 peratus di atas paras Mac 2021.

“Walapun ia adalah angka yang positif, namun ia merupakan kejatuhan ketara berbanding 11.2 peratus tahun ke tahun pada Februari 2022, dengan Asia dan Eropah mencatatkan penurunan terbesar dalam kapasiti,” katanya dalam satu kenyataan. 

Syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatatkan penurunan kuantiti kargo udara sebanyak 5.1 peratus pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama pada 2021, manakala kapasiti yang tersedia di rantau itu susut 6.4 peratus berbanding Mac 2021, penurunan terbesar dalam kalangan semua rantau.

“Dasar sifar-Covid di tanah besar China dan Hong Kong memberi kesan kepada prestasi,” katanya.

Menyedari bahawa pasaran kargo udara bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi global, Ketua Pengarah IATA Willie Walsh pada Mac 2022 berkata bahawa persekitaran dagangan menjadi lebih teruk. 

“Kombinasi perang di Ukraine dan penularan varian Omicron di Asia telah menyebabkan kenaikan kos tenaga, memburukkan gangguan rantaian bekalan dan membawa tekanan inflasi. 

“Justeru, berbanding setahun lalu, semakin sedikit barangan dihantar termasuk menerusi pengangkutan udara,” katanya.

Walsh berkata keamanan di Ukraine dan peralihan dasar Covid-19 di China akan banyak membantu mengurangkan ketidaktentuan industri.

“Namun memandangkan kedua-duanya dijangka tidak berakhir dalam tempoh terdekat ini, kami menjangkakan peningkatan cabaran bagi kargo udara ketika pasaran penumpang mempercepat pemulihan mereka,” katanya. – Bernama, 4 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen