Ujian Covid-19, kuarantin halangan utama perjalanan udara


Kelonggaran di Australia, Bangladesh, New Zealand, Pakistan dan Filipina akan membuka laluan untuk mengembalikan kebebasan mengembara yang lebih dinikmati di negara lain di dunia. – Gambar EPA, 18 Mac, 2022.

KAJI selidik berulang terhadap penumpang semasa pandemik mendedahkan ujian dan langkah kuarantin menjadi halangan utama untuk melakukan perjalanan, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Menurut IATA, variasi serantau bagi darjah keterbukaan dalam kalangan pasaran adalah suram dengan perjalanan di Asia masih terjejas teruk berikutan sekatan Covid-19.

“Walaupun trafik antarabangsa Amerika Utara dan Eropah meningkat semula kepada -42% tahun lepas daripada tahap puncak mereka pada 2019, trafik di Asia Pasifik kekal pada -88%.

“Bagaimanapun, di rantau ini, terdapat sedikit kemajuan apabila India dan Malaysia menjadi antara negara yang mengumumkan kelonggaran sekatan masing-masing, baru-baru ini,” menurut IATA dalam kenyataan semalam.

IATA berkata kelonggaran langkah itu mencerminkan meningkatnya persefahaman bahawa sekatan perjalanan seperti penutupan sempadan dan kuarantin hanya berperanan kecil untuk mengawal penularan Covid-19.

Persatuan itu turut berkongsi dapatan tinjauannya mengenai sekatan perjalanan bagi 50 pasaran utama perjalanan udara dunia (merangkumi 88% daripada permintaan antarabangsa pada 2019 yang dinilai melalui hasil penumpang bagi setiap kilometer), yang menunjukkan peningkatan akses adalah tersedia kepada pengembara yang divaksin.

“Sebanyak 25 pasaran yang menyumbang 38% daripada permintaan antarabangsa pada 2019 dibuka kepada pengembara telah divaksin tanpa memerlukan langkah kuarantin atau keperluan ujian, meningkat berbanding 18 pasaran (28% daripada permintaan antarabangsa pada 2019) pada pertengahan Februari.

“Sejumlah 38 pasaran yang menyumbang 65% daripada permintaan antarabangsa pada 2019 dibuka kepada pengembara telah divaksin tanpa keperluan kuarantin, bertambah berbanding 28 pasaran (50% daripada permintaan antarabangsa pada 2019) pada pertengahan Februari,” katanya.

Menurut Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh, lebih banyak kerajaan akan menguruskan Covid-19 melalui pengawasan sepertimana yang dilaksanakan terhadap virus endemik lain, selepas imuniti penduduk meningkat.

“Ini berita baik kepada semakin banyak destinasi yang akan menerima rangsangan ekonomi yang amat diperlukan daripada musim percutian Easter dan musim panas Utara yang akan datang. Asia adalah berbeza.

“Diharap, kelonggaran baru-baru ini termasuk di Australia, Bangladesh, New Zealand, Pakistan dan Filipina akan membuka laluan untuk mengembalikan kebebasan mengembara yang lebih dinikmati di negara lain di dunia,” kata Walsh. – Bernama, 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen