Momentum perjalanan udara mula meningkat sejak Januari


Kelonggaran sekatan Covid-19 menyaksikan peningkatan perjalanan udara di seluruh dunia. – Gambar EPA, 18 Februari, 2022.

DATA daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menunjukkan momentum yang semakin meningkat dalam perjalanan udara sejak sekatan mula ditarik balik, dengan penjualan tiket antarabangsa mencatatkan pertambahan 11 mata peratus dalam beberapa minggu kebelakangan ini berbanding dengan kadar jualan 2019.

Bagaimanapun, “dengan kemajuan yang disaksikan baru-baru ini agak mengagumkan, dunia masih tetap jauh dari tahap penyambungan pada 2019,” kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh.

Data tersebut menggambarkan pada purata pergerakan tujuh hari, bilangan tiket yang dijual berjumlah 49% dalam tempoh sekitar 8 Februari berbanding tempoh yang sama pada 2019 dan semasa 25 Januari, ia merekodkan 38% berbanding 2019, dengan peningkatan harga 11% antara tempoh Januari dan Februari.

“Ia adalah peningkatan yang paling pesat bagi tempoh dua minggu sejak krisis bermula,” kata IATA dalam satu kenyataan semalam.

Tinjauan sekatan perjalanan IATA membabitkan 50 pasaran perjalanan udara teratas di dunia mendedahkan akses yang semakin bertambah kepada pelancong yang divaksinasi; 28 pasaran dibuka kepada yang sudah divaksinasi, tanpa perlu melalui keperluan pengujian kuarantin atau pra-berlepas.

“Sementara itu, 37 pasaran terbuka kepada pelancong yang divaksinasi di bawah keadaan yang berbeza-beza (18 tanpa sebarang sekatan, yang lain memerlukan ujian atau kuarantin atau kedua-duanya),” katanya.

Bilangan ini menggariskan keadaan pelonggaran yang diumumkan di seluruh dunia termasuk di Australia, Perancis, Filipina, United Kingdom, Switzerland dan Sweden.

Walsh berkata 13 daripada 50 pasaran perjalanan teratas masih tidak menyediakan akses mudah kepada pelancong yang divaksinasi termasuk ekonomi utama seperti China, Jepun, Rusia, Indonesia dan Itali.

IATA akan terus mencari jalan bagi penghapusan semua halangan perjalanan yang merangkumi kuarantin dan ujian bagi mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya dengan kaedah yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. 

Ia juga mencari perjalanan tanpa kuarantin bagi pelancong yang tidak divaksinasi tetapi dengan keputusan ujian antigen sebelum berlepas berhasil negatif. – Bernama, 18 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen