Anak bulan tidak nampak, Arab Saudi sambut raya Isnin


Arab Saudi mula menjalani ibadah puasa 2 April, sehari lebih awal daripada umat Islam di Malaysia. – Gambar EPA, 1 Mei, 2022.

ARAB Saudi menggenapkan puasa Ramadan selama 30 hari dan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin selepas anak bulan Syawal tidak kelihatan semalam, lapor Saudi Press Agency.

“Oleh itu diputuskan bahawa Ahad 30/9/1443 Hijrah mengikut kalendar Umm Al-Qura bersamaan 1 Mei adalah hari terakhir bulan suci Ramadan sementara Isnin 1/10/1443 Hijrah mengikut kalendar Umm Al-Qura bersamaan 2 Mei adalah hari pertama Aidilfitri,” kata agensi itu dalam satu kenyataan, malam tadi waktu Malaysia.

Pihak berkuasa agama Islam di Malaysia akan mencerap anak bulan Syawal petang ini di 29 lokasi di seluruh negara.

Tarikh Aidilfitri kemudian akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam ini melalui radio dan televisyen.

Beberapa hari lalu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta umat Islam menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya selepas tular dakwaan 1 Syawal jatuh pada Isnin.

Arab Saudi mula menjalani ibadah puasa 2 April, sehari lebih awal daripada umat Islam di Malaysia. 

Pakar astronomi di Arab Saudi juga sebelum ini menjangkakan anak bulan tidak terlihat dari kedudukan bulan yang ada di negara itu.

Beberapa negara di rantau Arab juga akan menyambut Syawal pada Isnin, antaranya Emiriah Arab Bersatu, Iraq, Kuwait, Bahrain, Palestin, Syria, Yemen, dan Lubnan.

Mesir dan Sudan di benua Afrika juga dilapor akan berhari raya pada Isnin, begitu juga Perancis, Itali dan Sepanyol di Eropah serta beberapa negara lain yang bergantung pada keputusan pemerintah Arab Saudi.

Khamis lepas, Majlis Imam Kebangsaan Australia lebih awal melalui satu kenyataan selepas merujuk majlis fatwanya mengumumkan Aidilfitri di negara itu dirayakan pada Isnin.

Kelmarin, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata Malaysia mungkin menyambut Syawal pada Selasa, sehari lewat berbanding kebanyakan umat Islam lain di serata dunia.

Ia berdasarkan kriteria baru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (Mabims).

Indonesia dan Brunei juga akan melihat anak bulan Syawal petang ini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen