Beri kerjasama jika premis niaga minta tunjuk MySejahtera, kata Khairy


Walaupun imbasan kod QR MySejahtera dibatalkan, premis niaga masih berhak meminta pelanggan menunjukkan status risiko di MySejahtera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2022.

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin menggesa orang awam supaya bekerjasama dengan premis perniagaan yang meminta mereka menunjukkan status risiko di aplikasi MySejahtera.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Putrajaya mengumumkan penjejakan wajib menerusi aplikasi itu dihentikan bermula esok.

Menerusi Twitternya, Khairy hari ini berkata beliau berjaya mengadakan sesi perbincangan yang baik dengan industri peruncitan.

“Peralihan Ke Endemik akan memerlukan kerjasama tiga serangkai: Kerajaan dengan nasihat yang jelas, perniagaan untuk mempromosi keselamatan premis dan komitmen rakyat untuk solidariti komunal dan tanggungjawab individu.

“Secara praktikal, apa maksudnya? Kompleks beli belah tidak akan periksa status risiko anda di pintu masuk. Tetapi perniagaan seperti restoran (risiko tinggi kerana tidak memakai pelitup muka) mungkin meminta status risiko pelanggan mereka. Sila beri kerjasama,” tulisnya.

Tambahnya lagi, satu tanggungjawab yang perlu disedari semua adalah jika seseorang individu diuji positif Covid-19, mereka perlu menjalani kuarantin di rumah seperti digariskan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO).

Rabu lepas, Khairy mengumumkan yang Putrajaya membatalkan syarat kepada orang awam untuk melakukan imbasan kod QR MySejahtera apabila memasuki premis atau ruang awam bermula 1 Mei ini.

Katanya lagi semua orang kini dibenarkan memasuki semua ruang dan premis awam tanpa mengira status vaksinasi mereka.

“Pengurusan premis masih perlu memeriksa status risiko individu menerusi aplikasi MySejahtera.

“Individu dengan status ‘Risiko Tinggi’ di dalam aplikasi MySejahtera misalnya kes positif dan individu yang diberikan HSO, tidak akan dibenarkan memasuki premis.”

Tambahnya, pemakaian pelitup muka di tempat terbuka juga akan dijadikan pilihan dan bukannya kewajipan bermula 1 Mei, antara kelonggaran terbaru sekatan penularan wabak.

Bagaimanapun, tambahnya, pemakaian pelitup muka di ruang tertutup masih lagi digalakkan.

“Penggunaan pelitup muka di ruang terbuka atau luar bangunan adalah pilihan tetapi sangat dicadangkan kerana ia boleh mengurangkan penyebaran jangkitan”.

Tetapi, pelitup muka masih wajib dipakai di dalam bangunan atau pengangkutan awam termasuk di dalam kenderaan e-hailing.  – 30 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen