BEKAS perdana menteri Najib Razak hari ini mempertahankan dirinya terhadap tuduhan salah laku berkait skandal rasuah perolehan kapal selam dari Perancis pada 2002.
Najib berkata perkara ini diangkat semula bagi memburukkan imejnya.
Beliau juga menggelarnya sebagai propaganda oleh veteran DAP Lim Kit Siang dan Pakatan Harapan (PH).
“Siasatan ke atas kedua-dua kes rasuah kapal selam dan pembunuhan (Altantuya Shariibuu) juga dibuka semula semasa kerajaan PH mentadbir dan disiasat sepuas-puasnya mereka.
“Dan langsung tidak ada bukti saya berkait dengan rasuah kapal selam ataupun pembunuhan Altantuya.
“Dia teman wanita (Abdul) Razak Baginda - bukan saya. Saya pun tak pernah bertemu ataupun mengetahui wujudnya Altantuya sehingga dia dibunuh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Jurubahasa Mongolia Altantuya dibunuh oleh dua pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK) yang sebelum ini merupakan pengawal peribadi Najib.
Kenyataan ahli Parlimen Pekan itu dibuat selepas syarikat pertahanan Perancis Thales didakwa di negara itu berhubung penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.
Najib adalah menteri pertahanan ketika perjanjian itu ditandatangani untuk membeli dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis DCN, kini sebahagian daripada Thales, dalam perjanjian bernilai AS$1.2 bilion (RM5.2 bilion).
Rakan sekutu Najib, Abdul Razak Baginda bertindak sebagai penasihat dalam perjanjian itu, dan dituduh menggelapkan sogokan lebih 114 juta euro (RM528 juta mengikut kadar pertukaran masa kini) sebagai “kerja rundingan” oleh sebuah firma di mana beliau adalah pemegang saham terbesar.
Wang itu kemudiannya didakwa diberikan kepada Najib, yang berdepan menghadapi beberapa siri kes rasuah lain sejak beliau digulingkan sebagai perdana menteri pada 2018.
Razak Baginda didakwa di Perancis pada 2017, manakala Najib disoal siasat oleh agensi antirasuah Malaysia. – 29 April, 2022.
Komen