Anwar gesa tindakan terhadap Thales berhubung rasuah kapal selam Malaysia 


Anwar Ibrahim mahu kerajaan nyatakan pendirian dan jelaskan bagaimana semua pihak terbabit dalam skandal rasuah kapal selama boleh dibawa ke muka pengadilan di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2022.

KETUA pembangkang Anwar Ibrahim menggesa Putrajaya bertindak terhadap mereka yang terlibat dalam rasuah pembelian kapal selam Malaysia pada 2002 selepas mahkamah Perancis memulakan perbicaraan rasuah terhadap Syarikat Aeroangkasa Thales.

Presiden PKR itu dalam satu kenyataan hari ini meminta kerajaan menyatakan pendiriannya dan menjelaskan bagaimana individu dikaitkan dengan perjanjian kapal selam itu boleh dibawa ke muka pengadilan di Malaysia.

“Saya meneliti laporan terkait Mahkamah Perancis yang mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.

“Kes ini berlangsung dan dibicarakan di Paris, Perancis, dan pihak berkuasa Malaysia seolah ambil ringan dan aspek keadilan nampaknya tidak menjadi isu besar untuk disegerakan.

“Saya mendesak agar kerajaan dan pihak terlibat untuk segera menyatakan pendirian dan menjelaskan bagaimana watak-watak yang terlibat dapat dihadapkan ke muka pengadilan di Malaysia,” kata Anwar.

Semalam, AFP yang memetik sumber melaporkan seorang hakim Perancis mendakwa Thales bersubahat dalam rasuah berhubung penjualan kapal selam 2002 kepada Malaysia.

Kes dakwaan rasuah sekian lama dijalankan pada 2010 dan akhirnya dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib adalah menteri pertahanan ketika perjanjian itu ditandatangani untuk membeli dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis DCN, kini sebahagian daripada Thales, dalam perjanjian bernilai AS$1.2 bilion (RM5.2 bilion).

Rakan sekutu Najib, Abdul Razak Baginda bertindak sebagai penasihat dalam perjanjian itu, dan dituduh menggelapkan sogokan lebih 114 juta euro (RM528 juta mengikut kadar pertukaran masa kini) sebagai “kerja rundingan” oleh sebuah firma di mana beliau adalah pemegang saham terbesar. 

Wang itu kemudiannya didakwa diberikan kepada Najib, yang berdepan menghadapi beberapa siri kes rasuah lain sejak beliau digulingkan sebagai perdana menteri pada 2018.

Razak Baginda didakwa di Perancis pada 2017, manakala Najib disoal siasat oleh penyiasat antirasuah.

Secara keseluruhan, sembilan defendan termasuk Thales, didakwa di Perancis dan siasatan ditutup pada Januari, kata sumber.

Mereka termasuk bekas pengerusi DCN International Philippe Japiot, bekas ketua eksekutif Thales Jean-Paul Perrier dan dua bekas eksekutif lain.
Keempat-empat mereka menafikan sebarang salah laku, manakala kerajaan Malaysia berkata kontrak itu bebas daripada rasuah. – 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen