TIADA dakwaan jenayah dibuat antara bekas perdana menteri Najib Razak dan pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu dalam memoir “My Story: Justice in the Wilderness” oleh Tommy Thomas.
Pengarang buku itu berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya hari ini.
Pada 27 Oktober Najib memfailkan saman fitnah terhadap Thomas yang juga bekas peguam negara dan penerbit bukunya Gerak Budaya, mendakwa ada kenyataan berunsur fitnah dibuat dalam memoir yang diterbitkan pada 31 Januari 2021.
Bagaimanapun, Thomas dalam pernyataan pembelaannya berkata beliau hanya menceritakan peranannya mendapatkan bukti baharu berkait pembunuhan itu pada 2006.
“Kenyataan itu, dengan mengambil kira maksud dan tujuan sebenar mereka, tidak mengaitkan tuduhan jenayah terhadap plaintif (Najib) dengan pembunuhan Altantuya sebagai fakta.
“Kenyataan itu menceritakan peranan defendan pertama (Thomas) sebagai pendakwa raya dalam menerima bukti baharu mengenai pembunuhan itu,” kata Thomas.
Dalam samannya, Najib mendakwa Thomas memberi gambaran beliau ada kaitan secara langsung dengan Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang didapati bersalah atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Thomas dalam pembelaannya turut berkata beliau dilarang di bawah undang-undang daripada mengambil tindakan kerana Najib bekas perdana menteri.
“Berdasarkan jawatan tinggi plaintif sebelum ini, beliau dihalang oleh undang-undang daripada saman fitnah.
“Lebih-lebih lagi, kenyataan itu berkait dengan perbuatan plaintif dengan kapasiti rasminya ketika itu sebagai menteri pertahanan dan/atau timbalan perdana menteri Malaysia, dan melibatkan orang yang bekerja rapat dengannya.”
Tuntutan itu juga merupakan pelanggaran kebebasan bersuara dan perasaan yang diperuntukkan dalam perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, tambah Thomas.
Peguam itu berkata kenyataan dalam buku itu juga dilindungi kerana ia adalah soal kepentingan awam.
Beliau berkata kenyataan dalam buku itu juga tidak mencemarkan imej Najib memandangkan media dan orang ramai telah mengulas, menyiratkan atau membuat spekulasi yang beliau terlibat dengan kematian model itu.
Thomas berkata Najib juga menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah.
Dengan tuntutan mahkamah itu, Najib menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan pada kadar faedah lima peratus setahun daripada pemfailan saman itu selain permohonan maaf.
Beliau juga memohon penyingkiran perkataan dan petikan yang didakwa memfitnah daripada buku itu, serta injunksi kekal terhadap sama ada Thomas atau penerbit Gerak Budaya daripada terus menerbitkan kenyataan serupa.
Pengurusan kes saman itu akan dibicarakan secara maya esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – 2 Disember, 2021.
Komen