Pekerja asing tak masuk Sarawak walau sempadan dibuka, kata menteri


Desmond Davidson

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata antara sebab kenapa Sarawak sedang menghadapi kekurangan pekerja asing tertutamanya untuk projek Lebih Raya Pan Borneo adalah kerana negara sumber pekerja asing masih tidak membenarkan warganegaranya ke luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2022.

INDUSTRI utama dan projek infrastruktur utama Sarawak akan terus berhadapan kekurangan pekerja dan tidak dapat beroperasi pada kadar maksimum walau sempadan telah dibuka semula, kata Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.

Katanya negara sumber pekerja asing untuk Sarawak masih tidak membenarkan warganegara mereka ke luar negara.

Memberitahu The Malaysian Insight, Fadillah berkata keputusan itu bermaksud projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak akan terus kekurangan pekerja.

Katanya 10 kontraktor daripada 10 pakej kerja itu, yang dalam pelbagai peringkat kemajuan, kekurangan hampir 1,500 pekerja.

Pekerja-pekerja itu berasal dari Indonesia, Filipina dan Thailand.

Fadillah berkata majoriti adalah dari Indonesia dengan ramai yang membuat perjalanan singkat rentas sempadan darat Sarawak–Kalimantan di Tebedu–Entikong.

Rentas sempadan telah dibuka semula sejak 14 April.

“Seperti semua projek infrastruktur (di mana-mana) negara, pandemik Covid-19 telah menjejaskan kemajuan projek-projek ini. Pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak tidak berbeza,” kata Fadillah.

“Sempadan kita (telah dibuka semula) tetapi negara lain terutamanya negara yang membekalkan buruh masih tidak membenarkan pekerja mereka kembali ke pekerjaan luar mereka.”

Fadillah berkata pekerja asing di Pan Borneo melakukan pelbagai pekerjaan, daripada kerja am hinggalah yang memerlukan set kemahiran tertentu, seperti operator mesin.

Beliau berkata kontraktor pakej kerja sedang berusaha untuk membawa masuk pekerja asing.

“Mereka sedang melalui proses untuk memohon permit pekerja asing daripada Jabatan Tenaga Kerja,” katanya.

Fadillah berkata setakat akhir bulan lepas, kira-kira 30 peratus permohonan telah diluluskan.

“Bagaimanapun, negara luar masih tidak benarkan pekerja mereka ke luar negara.”

Kekurangan tenaga kerja bukan satu-satunya sebab tarikh siap dari akhir tahun ini dilanjutkan ke tahun berikutnya, kata Fadillah.

Beliau berkata, aduan yang biasa diterima daripada kontraktor adalah kekurangan bahan binaan dan jentera.

Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (Soppoa) turut menyuarakan kesukaran mereka menjalankan perniagaan berikutan kekurangan pekerja.

Mereka telah meminta kerajaan negeri menggunakan kuasanya untuk membenarkan pengambilan pekerja dari negara lain selain Indonesia.

Sarawak hanya membenarkan ladang kelapa sawitnya mendapatkan pekerja dari Indonesia tidak seperti di Semenanjung Malaysia yang membenarkan pekerja asing dari beberapa negara yang membentuk sehingga 80 peratus tenaga kerja mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Soppoa Felix Moh berkata kekurangan pekerja menyebabkan industri kehilangan pendapatan RM2 bilion tahun lepas.

Dalam satu kenyataan, Moh berkata situasi semasa yang dihadapi oleh industri perladangan telah menjadikan masanya tepat untuk Sarawak melonggarkan dasar pengambilan pekerja asingnya.

Beliau mencadangkan pemilik ladang dibenarkan mengambil pekerja dari Bangladesh. – 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen